Do what you want to

do,Dream what you want to dream, Go where you want to go, Be what you want to be, because you only have one life and one chance to do all the things you want to do...


Monday, February 28, 2011

Menapa Portugis tak menawan utara tanahair..

Tolong sebarkan perkara ini (Sejarah Penjajahan Tanah Melayu) kepada kawan kawan kita supaya kita semua dapat kesedaran di sebalik sejarah yang sengaja tak didedah disebabkan agenda tertentu.. Semoga dari pendedahan ini kita mengambil iktibar betapa Ketuanan Melayu disanggah selama ini

1508: Alfonso de BURQUE menyampaikan hasratnya kepada Raja portugis untuk meluaskan pegaruhnya ke Asia Tenggara (Melaka pusat perdagangan asia tenggara ketika itu) dan juga laluan penting perdagangan timur barat. Raja Portugis bersetuju untuk menyediakan kemudahan bala tentera 158 biji kapal, 15300 (anggaran) bala tentera

1509: Portugis menghantar perisik ke Melaka untuk megetahui keadaan kekuatan pertahanan di sana

Oct 1511: Alfonso berjaya menawan Melaka setelah berhempas pulas melawan 5 pahlawan melayu terhandal (Hang Tuah, Hang Lekir, Hang Lekiu,Hang Jebat dan Hang Kasturi) ini adalah mimpi ngeri bagi pihak Alfonso, untuk menawan Melaka serta berlawan dengan 5 Hang bersaudara, mereka perlu mendapat askar tambahan setelah 15k askarnya terkorban dalam pertempuran selama 6 hari itu dengan 5 Hang bersudara..akhirnya dapat juga menawan Melaka setelah hampir kecewa dan putus asa...

1512: Setahun 12 bulan kemudian Alfonso ingin meluaskan kekuasaannya ke Perlis, Kedah dan P.Pinang, yang ketika itu adalah pusat pegeluaran tebu untuk gula rantau ini,...

Feb 1512: Alfonso menghantar perisik ke perlis, kedah dan pulau pinang un tuk mengetahui kekuatan bala tentera di sana mengikut sejarah, perisiknya telah ke kedai kopi sekitar untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan

Seminggu selepas

Feb 1512, perisik balik ke Melaka untuk memberitakan hasil risikan kepada Alfonso

Di bawah adalah perbualan percakapan antara perisik dengan Al fonso yang selama ini cuba disembunyikan dalam buku sejarah

Perisik 1,2,3: Selamat pagi tuan (sambil bertabik)
Alfonso: Selamat pagi
Perisik 1: Begini lah tuan, lupakan saja niat tuan untuk menawa Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
Alfonso: Kenapa kuat sangat kah mereka itu..? ( dengan nada marah dan bongkak)
Perisik 2: Untuk menawan melaka yang mempunyai 5 pahlawan terhandal Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu pun kita kehilangan hampir 15 ribu bala tentera, inikan pula kita nak menawan Perlis, Kedah dan P.Pinang yang mempunyai beribu ribu hang..
Perisik 3: Betoi tu tuan...antaranya

hang sihat ka, hang buat apa, hang apa habaq, hang lagu mana, hang pi mana, hang tidoq ka, hang singgah dulu, bapak hang, mak hang, adik hang, tok hang
macam macam lagi hang ada kat sana.....

Mendengar hasil risikan itu Alfonso pun tak jadi nak pi serang disebabkan pengalamannya sebelum ini bersama 5 pahlawan melayu Melaka amat ngeri......ini kan pula nak berhadapan beribu ribu hang kat situ.

scroll sampai bawah.....

lagi....

lagi...

Hang tunggu apa lagi...hang nak mampuih ka....hang pi buat kerja nu!!!

Sunday, February 27, 2011

SEJARAH KAMPUNG BERHALA GANTANG



Berhala Gantang adalah sebuah kampung kecil dalam Mukim Sanggang letaknya di sebelah kanan mudik sungai Pahang. Lebih kurang 6 km dari Bandar Temerloh. Kampung ini dipercayai di asaskan pada tahun 1176H/1729M oleh seorang yang bernama Shahibudin Bin Zainal Abidin Bin Suji Bilang. Pada masa tersebut Negeri Pahang mengalami perebutan kuasa di antara waris Kesultanan Melayu Melaka iaitu Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Perebuatan ini tidak menjejaskan kedudukan sosial dan ekonomi penduduk setempat. Ini kerana jalan keluar membawa hasil mahsul adalah melalui Penarikan di Ulu Muar, kebanyakan di kawasan hulu sungai Pahang dikuasai oleh orang-orang Melayu Minangkabau, Rawa dan Mendailing. Mereka mengadakan perhubungan perdagangan dengan orang-orang Belanda di Melaka.


Kampung Berhala Gantang bukanlah sebuah Kampung yang tertua di dalam Negeri Pahang, malah ia merupakan sebuah perkampungan baru jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain seperti Chenor, Bera, Mengkarak, Pulau Tawar, Badok, Kg. Mengkasar, Sungai Ma’ Dulang, Bangau dsb. Asal usul Tuk Shahibudin adalah dari Minangkabau kemudian berpindah ke Negeri Sembilan. Dari sana, mereka masuk ke Pahang dan menetap di Chenor. Di Chenor keluarga ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan di beri kuasa lalu membuka penempatan di Mengkarak. Dari Mengkarak, Tuk Suji Bilang pergi membuka perkampungan di Tanjung Keramat, Bangau. Di situlah Tuk Shahibudin membesar dan belajar. Setelah dewasa dan berkahwin maka menurut adat Minangkabau anak lelaki pantang duduk di rumah, maka beliau pergi berdakwah ke merata Negeri Pahang hinggalah diputuskan oleh Allah membuka kampung di Berhala Gantang.


Kampung ini di bina dengan hanya satu tujuan untuk dijadikan pusat pengajian Islam bagi negeri ini. Pusat pengajian yang hanya berasakan Al Quran dan Al Sunnah menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini kerana pada masa itu Negeri Pahang di kuasai oleh aliran Panthisne Hamzah Fansuri iaitu Fahaman Mertabat Tujuh dan bermacam-macam aliran lain lagi yang kebanyakannya cenderung kepada Sufisisme. Ajaran ini merupakan ikutan kepada fahaman Wihdatul Wujud yang diasaskan oleh Ibn Arabi Al Sufi. Di samping itu juga ajaran Islam di negeri ini bercampur dengan khurafat dan bidaah yang melampau – lampau.



Antara lain matlamat Tuk Shahibudin ialah untuk mengislamkan penduduk tempatan yang terdiri dari orang Asli yang liar. Orang Asli pada masa itu terkenal dengan kebolehan mereka di dalam bidang ilmu sihir dan perbomohan, apabila mereka memeluk Islam amalan ini masih di teruskan.


Tuk Shahibudin berjaya di dalam usahanya yang pertama iaitu membina sebuah penempatan dan mendirikan sebuah Sekolah Agama yang sistematik. Beliau juga berjaya menjadikan kampung ini sebuah estet menanam pokok kelapa dan padi. Beliau juga berjaya membangunkan sebuah penempatan yang tersusun dan menarik orang ramai untuk tinggal di kampung ini, dalam masa yang singkat Kampung Berhala Gantang sudah menjadi satu kawasan penempatan yang maju serta ramai penduduk.
Ketegasan Tuk Shahibudin dan kebolehan beliau di dalam pelbagai ilmu persilatan menyebabkan nama beliau terkenal di Negeri Pahang ketika itu, Tuk Shahibudin tidak bertolak ansur di dalam soal aqidah dan amalan Islam, hampir 90% penduduk Islam di Pahang mengamalkan ajaran Suluk Hamzah Fansuri sebaliknya Tuk Shahibudin mengikut fahaman Insaniyah Nuruddin Al Raniri dan mengikut Tarekat Al Hadad dari Yaman. Ini berlainan dengan tarekat-tarekat tempatan ketika itu yang cenderung kepada Naqsabandi. Tuk Shahibudin pernah berperang dengan suku Rawa di kawasan Jerantut kerana membenteras ajaran sesat dan karut marut.


Perjuangan beliau disambung oleh anak cucu beliau yang semuanya alim-alim belaka seperti Teh Mohd Hassan yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Teh Keramat yang makamnya terdapat hingga ke hari ini di Kampung Berhala Gantang, sehingga pernah makamnya dijadikan oleh orang-orang jahil sebagai tempat bernazar. Semasa Tuan Teh, Kampung Berhala Gantang telah diiktiraf sebagai sebuah jajahan, Tuan Teh telah dilantik sebagai Mufti dan Qadi bagi daerah Temerloh oleh Bendahara Tun Abdul Majid. Dan sebagai leluhur dari Orang Kaya Indera Segaradi kawasan Jempol, Rembau dan Triang, Tuan Teh diberi memegang kekuasaan dari Sungai Lebak hingga ke Gunung Senyum terus ke Bukit Segumpal.


Selepas kematian Tuan Teh, kampung ini terus menjadi pusat pengajian yang terkenal, ini kerana anak Tuk Shahibudin yang dilantik menjadi Qadi adalah tiga orang iaitu Qadi Nong dan Qadi Abu Bakar Sanggang selain Tuan Teh sendiri. Imam Syam yang dilantik mengantikan Tuan Teh berjaya meneruskan usaha datuk neneknya menjadikan kampung ini pusat pendidikan agama yang tinggi.




Kampung ini menjadi tempat orang dari seluruh Negari Pahang mendapat pendidikan samada untuk dunia dan akhirat. Ramai juga pembesar-pembesar mencari jodoh untuk anak gadis mereka daripada penduduk kampung ini. Oleh sebab itu salsilah anak cucu Tuk Shahibudin berkembang ke hilir seperti di Lebak, Tengguh, Guai hingga ke Mentiga dan ke hulu seperti Sanggang, Loyang, Lipat Kajang, Pualu Pasir Mandi hingga ke Kuala Lipis.
Semasa pemerintahan Bendahara Ali, Negeri Pahang menjadi aman makmur dan penduduknya menikmati taraf kehidupan yang tinggi, salah satu sebabnya ialah kerana kekuatan kehidupan beragama di kalangan anak negeri. Dari suasana politik yang tidak ketentuan pada masa Bendahara Sultan Abdul Jalil bertukar menjadi stabil. Bagi penulis keadaan ini amat jelas menunjukkan kejayaan Tuk Shahibudin dan anaknya Tuan Teh mengembangkan agama Islam di negeri ini dan menyatukan mereka di bawah satu payung kesatuan ummah yang padu.
Dalam sekitar tahun 1870 hingga 1900, Kampung Berhala Gantang mempunyai sebilangan ulama yang terkenal seperti Qadi Besar Pahang , Qadi Ibrahim bin Abu Hurairah, Imam besar Mohammad, Tuan Haji Ali bin Sham, Tuan Haji Ahmad bin Abdullah pendek kata kampung ini tidak putus-putus selama 150 tahun mempunyai guru agama yang berjuang secara sukarela bagi kepentingan agama dan bangsa. Mereka juga dipanggil oleh penduduk sesuatu kawasan datang tinggal di tempat mereka dan menetap di sana seperti di kawasan kiri kanan sungai Semantan hingga ke Kuala Kaung dan Jambu Rias masih terdapat jalur keturunan Tuk Shahibudin. Anak cucu beliau memberi sumbangan yang besar di dalam memaju dan membuka perkampungan baru.
Selepas kemasukan British ke Pahang, kedudukan kampung ini terus stabil, penduduk kampung ini oleh kerana tradisi kekuatan beragama, bersolat jemaah, bergotong – royong, mempastikan anak-anak boleh membaca Al Quran dan berbahasa Arab mereka terus dihormati oleh British, sehingga jawatan Qadi daerah Temerloh ini menjadi jawatan “Qadi Berhala Gantang” yakni secara turun temurun di pegang kuasanya oleh orang Kampung Berhala Gantang sejak dari zaman Tuan Teh, Qadi Nong, Qadi Abu Bakar, Qadi Ismail, Qadi Ibrahim, Qadi Ahmad sehingga ke zaman sebelum darurat.
Orang – orang Kampung Berhala Gantang juga terkenal sebagai ahli perniagaan dan pertukangan, dalam awal tahun 1900 mereka menguasai pasar di Temerloh, contohnya pekan sehari Ahad pada masa dulu hanya dua golongan besar saja yang terlibat menjual barangan di situ iaitu orang Kampung Berhala Gantang dan Orang Kampar Batu Satu. Mereka juga pandai mencari bijih timah dan emas, hal ini sebelum kemasukan British dan dikuatkuasa oleh Kerajaan Pahang ketika itu. Orang Kampung Berhala Gantang juga mahir di dalam bidang pertukangan, sehingga mereka dijemput mendirikan masjid di sekitar Daerah Temerloh, contohnya masjid Songsang dsb.

Pada masa kedatangan Jepun, penduduk kampung ini masih bersemangat untuk menghidupkan sekolah agama walaupun di dalam keadaan tidak tenteram dan sukar untuk mendapatkan peralatan, bersama-sama ketua kampung Allahyarham Abdullah Yaakub bin Awang Naib, Tuan Haji Zakaria bin Hj Ibrahim, Khatib Dollah bin Janal, Ismail bin Janal, Cikgu Yaakub bin Simat, Bilal Omar bin Kia, Tuan Haji Sham bin Yusuf, En Md Noor bin Sitam, Tuan Hj Taib bin Nong Tahir, En Mustaffa bin Arshad mereka berusaha bersama-sama mengumpulkan wang dan membeli tanah dari En Idris bin Hassan untuk dibuat tapak sekolah. Maka akhirnya lahirlah Madrasah Al Wosto di atas sebidang tanah seluas satu ekar dan pondok di atas tanah seluas hampir lima ekar.
Pada masa kebangkitan semangat kemerdekaan, penduduk kampung ini tidak lepas dari sama-sama bangun menentu British keluar dari Tanah Melayu. Sebahagian dari mereka telah memasuki API, AWAS, INSAF, KMM dan Hizbul Muslimin, Penduduk kampung ini sama sekali tidak menyokong British sebab itu mereka tidak dengan A/C, sebaliknya mereka ditohmah sebagai tali barut komunis. Sehingga Ketua Kampung pada masa itu hendak dibunuh oleh komunis barulah pihak Inggeris percaya bahawa penduduik kampung ini tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.
Selepas kemerdekaan, kampung ini telah menjadi sebuah pusat pengajian yang paling besar di Negeri Pahang, dengan murid yang hampir 300 orang dan dapat mengadakan kelas hingga tingkatan lapan, sama setanding dengan sebuah universiti di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Hasanuddin Bin Muhammad, Madrasah Al Wosto juga telah berjaya mengasah bakat murid-murid di dalam aktiviti Ko Kurikulum. Pelajar – pelajar ini dapat menjuarai beberapa kategori pertandingan peringkat daerah dan negeri seperti di dalam kategori bola sepak dan musabaqah Al Quran. Sekolah ini begitu maju sehingga perbelanjaan tahunannya menjangkau RM 13,572 setahun (nilai pada masa itu)
Dalam akhir tahun 70an dan awal 80an merupakan zaman kemelesetan ekonomi dan berlaku banjir besar sebanyak dua kali, ini menjadikan ekonomi penduduk kampung agak sukar. Namun usaha untuk mencapai kemajuaan tidak pernah lekang dari lubuk hati mereka, dengan wujudnya universiti dan pusat pengajian tinggi tempatan, maka mulalah penduduk kampung ini menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke universiti, sehingga kini hampir 100 orang anak-anak kampung ini berjaya menjejakkan kaki ke Universiti. Pada tahun 1982, dengan sebab keuzuran Tuan Guru Haji Hasanuddin telah menyerahkan kuasa pentadbiran sekolah Al Wosto kepada Jabatan Agama Islam Pahang, sekali lagi penduduk kampung ini dengan sukarela mewakafkan tanah bagi tapak sekolah.



Era 90an, kampung ini telah melangkah setapak lagi denagn mendirikan Maahad Tahfiz Al Quran, dalam usaha menjadikan penduduk kampung ini mengambil berat tentang pendidikan Al Quran, semoga Intitusi ini menjadi sebuah Jamiaah atau kolej yang dapat melahirkan para ulama yang berketerampilan di dalam soal – soal keagamaan, ini tergantung kepada setakat mana kesungguhan anak cucu Tuk Shahibudin merealisasikan impian datuk nenek mereka di masa lampau, sejauh mana meraka sanggup berkorban wang ringgit dan tenaga mereka bagi agama.
Pada masa sekarang , Kampung Berhala Gantang telah menikmati pelbagai kemajuaan dan menerima pelbagai peruntukan yang lebih baik dari kampung – kampung di sekitarnya. Semoga Allah memelihara kita dan menjayakan hasrat, cita – cita dan niat kita bersama.








MAKAM TUAN TEH ULAMA ISLAM







TUAN TEH MERUPAKAN ANAK KEPADA TUK SHAHIBUDIN, BELIAU BANYAK MENGARANG KITAB2 ANTARANYA KITAB RAUDATUL JINNAN YG DI CETAK DI
PERCETAKAN FATH KARIM DI MEKAH

Keratan Syair Sifat Duapuluh:



Empat perkara rukun syahadah
Mengisbatkan Zat serta Sifat
Mengisbatkan Afa’al serta Qudrah
Membenarkan rasul genaplah empat

Sifat Wujud dikata Zat
Qidam dan Baqa sifat ibarat
Mukhalafatu li jami’ul Kaainat
Qiyamuhubinafsihi,Wahda’aniat

Hayat dan Ilmu sifat Maani
Qudrah dan Iradah demikian lagi
Sama dan Bashar bernama Mulki
Ketujuh sifat Kalam hakiki

Hay, A’lim hal maani
Lazim dan malzum bi’iya al Nabi
Ilat dan Maklul qadim zamani
Jadilah nama kepada hakiki

Yang mustahil kepada Allah
Segala lawan sifat Salbiyyah
Demikian lagi sifat Nafsiyyah
Serta Maani dan Maknawiyyah

Yang harus padaNya pula
Menjadi mumkin meninggalkan dia
Tatkala ditilik kepada esaNya
Tetapi wajib benar kataNya

Wajib kepada Rasullulah
Sidik dan Tabligh serta Amanah
Mustahil padanya dusta dan Bidaah
Asi dan Kitman serta Khiyannah

SYAIR A’SHIKIN

Bismillah itu permulaan
Pekerjaan yang baik disunatkan
Alhamdulliah puji sekalian
Selawat dan salam,rahmat dan imam,           

Kemudian itu ayuhai ikhwan
Syair Ashikin satu minuman
Di dalamnya banyak rempah ratusan
Nikmat limpah sekalian badan,                      

Minumlah handai pagi dan petang
Kendil Siraj hendaklah pasang
Musalli rida’  hendaklah bentang
Raqib al Dhamir bagi ku pandang,   

Beberapa pesanan hendaklah jaga
Dari nabi wali yang mulia
Wa’du dan waadid ,laba dan bahaya
Kemudian itu inilah pula                                

Ilmu Makrifat wajib pertama
Imam dan Islam,keduanya sama
Mentauhidkan zat,sifat dan asma
Keempatnya itu bernama agama,      

Makrifat Allah hendaklah nyata
Taklid disana menjadi lata
Dalilkan zahir kepada  mata
Alwi dan Supli ,alam semesta,                       

Segala rasul menyampaikan Firman
kepada mukalllaf,jin dan insan
Hukum syarak itulah jalan
Sampai kepada Tsa’ib dan Saiban     

Hadas dan najis hendaklah suci
Rukun dan syarat wajib diketahui
Azab dan murka wajib takuti
Kubur dan Mahsyar hadir menanti    

Akal berfikir hendaklah tajam
Hidup di dunia sehari semalam
Simpang pun bulan sebelum kelam
Kandil terpasang sebelum  padam                 

Matahari lagi bercahaya
Bulan dan bintang lagi cuaca
Pintu taubat lagi terbuka
Bumi pun tetap belum bergempa                   

Tuntutlah ilmu jalan agama
Jangan dibuang umur yang lama
Sucikan hatimu dari dunia
Lawan berperang nafsu dan hawa    

Diharuskan Allah mencari harta
Gunanya itu akan belanja
Tidak disuruhkan laba dan tama’
Denga[i]rlah kisah sekalian anbia                    

Tuntutlah ilmu jalan makrifat
Supaya sempurna jalan syariat
Penuhi hati dengan ibarat
Sertai badan dengan ibadat               

Segala tanggungan hendaklah jaga
Daripada jalan dosa dan pahala
Jauhkan rugi banyakkan laba
Dulukan sesal tunaikan bahaya                     

Tuntutlah ilmu jalan ibadat
Kerjakan amal fardhu dan sunat
Antara syariat dan hakikat
Di sanalah maqam Saidul Kaainat

Berbuat ibadat janganlah segan
Sungguhpun titah perolehan badan
Hawa dan nafsu iblis dan syaitan
Sudah tentu itulah lawan                                

Jalan syairat bil hidayat
Jalan tarekat bil inayat
Jalan hakikat bil riyaat
Sekaliannya itu maal bidayat             

Imam dan Islam bi hidayatullah
Zuhud dan wara bi inayatullah
Fana dan suhud bi riyatulllah
Maqam al Khawas Khalisullah                      

Riayaah dan Inayaah  serta hidayah
Ketiganya itu fadluminallah
Inilah kurnia yang amat limpah
Perbezaan hamba awam dan khas’sah         

SALSILAH ULAMAK DARI KG BERHALA GANTANG TEMERLOH PAHANG.


1.TUK SHAHIBUDIN BIN ZAINAL ABIDIN (1708/28-1800)
1708 Lahir di Kampung Tanjung Keramat,di Kuala Semantan ,Temerloh Pahang. Beliau berketurunan Minangkabau,keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Siak-Jambi yang membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700.Pada tahun 1750, Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang mempercayai  Ajaran Mertabat Tujuh, tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan Aliran Widatul Suhud sebagaimana yang di war-warkan oleh Sheikah Nuruddin Al Raniri di Acheh dan amanah gurunya Kadi Ismail. Beliau melaksanakan kerja ini dengan bersungguh sehingga berjaya meletakkan pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Acheh dan Jawa, beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di dalam bidang akidah serta tasawuff.

Tuk Shahibudin Sebagai Tokoh Penyair Pahang Abad Ke 18.
Pada tahun 1770an  Ketika usianya sudah lanjut Tuk Shahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pasentren di serahkan kepada anaknya Tuan Teh,Ketua kampung pula Imam Baada dan jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, juga Syair Ghafilah,Syair Sifat dan Syair Tumbuhan. Syair-syair ini di salin dan di simpan oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. Begitu juga di jumpai akhir-akhir ini Syair Pembasuh Tangan,Syair Kebun dan Syair Pengantin Berarak. Syair karya Tuk Shahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di perjumpaan keagamaan. Disamping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau amat kuat sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah meniru gaya Tuk Shahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “ ,karya ini pernah dijadikan thesis oleh Dr Fauzi Basri,bekas Naib Censelor UUM.

   Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin, tetapi menurut Kadi Ibrahim pula didalam kitab Syifa Al Abdan ialah Muhammad bin Zainal Abidin bin Shahibudin. Di dalam buku “Juble Perak Sek Men Agama Al Wosto” nama beliau di sebut “Teh Hassan”. Dilahirkan dalam tahun sekitar1750an dan meninggal sekitar awal tahun 1810 dalam usia hampir 60 tahun.
            Bagi meneruskan usaha ayahandanya Tuk Shahibudin, Tuan Teh mengarang banyak kitab-kitab agama seperti Tauhid, Usulfiqh dan Tasawuff. Usaha ini dilakukan bagi membanteras ajaran sesat yang berleluasa di Pahang ketika itu. Ajaran sesat yang wujud sejak sebelum zaman Tuk Shahibudin lagi terus wujud dimasa Tuan Teh seperti ajaran Hakikat Diri,Hakikat Sembahyang,Hakikat Sembelih,Hakikat Berjunub,Pantang pemali,Cuca,Ilmu Sihir,Ilmu Pengasih,Ilmu Kebal,Ilmu karut marut yang bercampur di antara ilmu agama, pawang dan ilmu pendekar. Kebanyakan guru-guru yang mengajar ajaran ini adalah secara sulit tidak berterus terang,sedangkan Rasullulah tidak pernah menyembunyikan ilmu beliau untuk sesiapa sahaja kerana sifat Baginda yang “Tabligh” menyampaikan semua ilmu kepada manusia.Tuan The di dalam satu watikah telah mengistiharkan bahawa semua ini adalah ajaran sesat yang bukan sama sekali dari Islam. Oleh kerana peranan yang begini besar beliau telah diberi gelaran oleh Prof.Dr. Harun Fatah Ibrahim  dari UKM sebagai orang yang pertama di Tanah Melayu yang menentang ajaran sesat  semasa di adakan Muktamar Tokoh Ulama UKM tahun 1983. Fatwa yang dikeluarkan oleh beliau disebarkan di seluruh negeri Pahang (Lihat lampiran).
             

Keratan kitab Raudatul Jinan Halaman 1:


Mudah mudahan insaflah kita dan sedarlah kita daripada lalai dan lenyap dengan sesuatu yang tiada berguna adanya iaitu dunia dan segala perhiasanya dan berpalinglah kita dan berpindahlah kita kepada mengasihi akhirat yang baqa dengan berbuat takutkan Allah dan mengerjakan segala suruhannya dan  menjauhkan segala tegahNya dengan tulus ikhlas dalam sekalian ibadat serta menjauhi diri kita dari mengasihi bagi dunia ini serta bersungguh-sungguh meminta tolong kepada Allah Subana wa’ Taala atas berbuat segala kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan dan meminta ampun dari segala dosanya dan kesalahan dan menerima segala nasihat dan menghantarkan segala ibadat dan mengambil kelakuan segala asfia[1] yang pilihan dan berseterulah dengan hawa nafsu dan dengan iblis dan syaitan dan hadirkan maut ini pada pintu hatinya dan sentiasa menghantarkan dirinya dalam kubur dengan seorang diri dan menilik akan segala kecelakaan dirinya dan menanggalkan ia kepada pangkat yang di bawah pada pihak dunia dan pangkat yang di atas pada pihak agama dan sentiasalah ia memandang dengan mata hatinya akan Allahsubhanawatala senantiasalah ia menilik kepadanya dan mengetahui segala halnya pada zahir dan batinnya tiadalah tersembunyi atasnya sesuatu jua pun.


Karya-karya beliau juga dijumpai di Sumatera Barat di dalam simpanan Marhum Haji Umar di kawasan Padang Sumatera Barat.Kealiman Tuan Teh juga diakui oleh banyak pihak sehingga beliau menerima pelbagai kunjungan dari ulamak-ulamak yang terdapat di Nusantara ketika itu seperti dari Sambas,Riau,Acheh,Terangganu dan Kelantan.
           




3. KADI JAAFAR  BIN TUK SHAHIBUDIN
            Kadi kedua yang dapat dikesan yang menjalankan tugas kadi di Daerah Temerloh selepas Kadi Ismail Bangau Tanjung. Beliau merupakan anak Tuk Shahibudin yang ke lapan. Dipercayai lahir sekitar awal 1750an dan meninggal awal 1820an. Beliau mendapat didikan awal dari bapanya dan dipercayai beliau mendapat pendidikan di Kota Mekah, sekembali dari Mekah beliau telah dilantik menjadi kadi di Daerah Temerloh.

4. LEBAI ENDAK
            Merupakan anak sulung kepada Tuan Teh, beliau seorang yang pintar tetapi pada masa kecilnya agak susah hendak belajar. Lebai Endak bukan lah nama beliau yang sebenar akan tetapi merupakan gelaran dari perkataan “Hendak”.  Oleh kerana masa kecilnya culas belajar maka dia agak ketinggalan dari adik beradiknya yang lain akan tetapi apabila dia mula hendak belajar bersungguh-sungguh maka dia menjadi lebih alim dari adik beradiknya yang lain.

5. IMAM CU AHMAD
            Tuan Guru merupakan cicit kepada Tuk Shahibudin, di lahirkan sekitar tahun 1840an, beliau merupakan antara empat orang tuan guru yang mempunyai bilangan murid yang ramai di Kampung Berhala Gantang. Tuan Guru mendapat pendidikan agama di Kampung Berhala Gantang dari peringkat serendah-rendahnya sehingga ke peringkat tinggi.
           
6. KADI ISMAIL
            Cicit kepada Tuk Shahibudin dari  sebelah ibu iaitu dari jaluran  Imam Baada yang beranakkan  Banun, Kadi Ismail mempunyai lima beradik antaranya Hawa, Zain, Ishak dan Hurairah. Hurairah beranakkan Kadi Ibrahim, jadi Kadi Ibrahim dan Kadi Ismail adalah sepupu dari sebelah ibu dan sepupu juga dari sebelah bapa.
             
7. KADI IBRAHIM BIN ABU HURAIRAH
1830-1918
            Kadi Ibrahim merupakan saudara dua pupu dengan Kadi Ahmad, keturunan dari Tuk Shahibudin dari sebelah perempuan. Manakala dari sebelah lelaki beliau adalah keturunan dari Datuk Matang di Perak Darulriduan. Datuk Matang merupakan seorang pembesar yang sangat berkuasa di Perak dan seorang yang sangat kaya. Beliau merupakan anak cucu Tun Perak dari jaluran Tun Telanai. Apabila Melaka alah kepada Portugis,orang-orang Melaka lari ke Johor Lama. Di sana mereka telah ditawan oleh Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Acheh. Dari Achehlah mereka pergi ke Perak. Setelah tinggal dan menguasai Perak,anak beranak Datuk Matang menjemput keturunan Raja Melaka yang masih berada di Acheh menjadi sultan di Perak.
Datuk Matang mempunyai seorang anak yang berani dan pintar yang bernama Panglima Bagus. Panglima Bagus memberi sumbangan yang banyak kepada kemajuan dan keamanan negeri Perak. Oleh kerana satu hal maka Panglima Bagus merajuk hati dan lari ke Pahang. Di Pahang beliau berkahwin dengan adik perempuan Tuk Shahbudin iaitu Meradah. Beliau membuka kampung di Kuala Temerloh. Maka kawasan itu di serahkan kepada pegangan beliau maka di namai oleh beliau kawasan itu Mukim Perak  bagi mengenang negeri yang telah ditinggalkan olehnya. Anak cucu beliau pernah menjadi Orang Kaya Temerloh beberapa ketika.
Pada masa Khatib Ngah beliau telah berkahwin dengan orang Berhala Gantang dan berpindah ke sana,beliau mendapat beberapa orang anak lelaki antaranya Khatib Hassan,Daharim dan Hurairah. Dari Hurairah lahirnya Kadi Ibrahim.
            Di samping menjadi Kadi Besar, beliau juga sempat mengarang beberapa buah kitab, antaranya:

a.      Kitab Syifa Al Abdan 3 Jilid
b.         Kitab Hidayatul Al Wildan
c.      Tafsir Surah Ikhlas
d.     Al Faaidaat Wal Al Muhaimmat.



Beberapa Petikan dari Kitab Syifa al Abdan

Petikan dari halaman 4:

(Amma Ba’du) Adapun kemudian daripada memuji Allah ,Tuhan yang menjadikan insan dan jin, selawat dan salam ke atas hambaNya yang paling dikasihiNya,Nabi Muhammad yang paling utama dari anak cucu Adnan,(Maka lagi akan berkata) hamba fakir yang sangat mengharap kepada rahmat Allah : Haji Ibrahim bin Hurairah,bekas Kadi Besar Pahang,(maka tatkala adalah pada hijrah Nabi s.a.w 1332 pada bulan Jamadil Awal,16 haribulan) Maka pada tarikh tersebut ini telah kuat himmahku dan tadbirku dengan gerak dan ilham daripada Allah pada membuat satu risalah bagi membicarakan idtikad Ahli Sufi yang pada jalan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah; iai tu Mazhab Imam Abu Hassan Al Asaari dan Imam Abu Mansur al Maturidi.
(Maka ilmu ini)diambil setengahnya dari padanya di dalam Kitab Futh al Ghaib karya Imam Mahyuddin Abdul Kadir Jailani dan setengahnya dari karya Imam al Hafni r.a dan setengahnya daripada Kitab Maqasid al Asani karya Imam al Ghazali. Maka yang dipungut itu sangat sedikit umpama lautan perciknya,umpama setitik jua daripadanya,mudah-mudahan dengan berkat syeikh-syeikh yang tersebut itu maka risalah ini dapatlah membuangkan dan membersihkan idtikad yang cemar daripada idtikad Mertabat Tujuh yang tiada tentu ahlinya, yang bukan dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah boleh menyesatkan akal dan idtikad orang awam.
(Maka ini ilmu dan idtikad) adalah pegangan ulamak Pahang keturunan daripada Haji Abdul Shukur bin Haji Abdul Kadir diambil oleh Kadi Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Shukur,Pahang di Kampung Kertau dan daripada Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin,Pahang di Kampung Balai Gantang, ia itu mengambil daripada Fakih Yusuf bin Abdul Salam; Ialah yang membuangkan segala Ilmu Mertabat Tujuh pada zaman Maulana Marhum al Maghfur Bendahara Ali dan Al Marhum wa al Maghfur Sultan Ahmad Shah 1, Pahang.  K.C.M.J.

8. HAJI ALI BIN HAJI AHMAD (1876-1948)
Cicit kepada  Tuk Shahibudin di Kampung Berhala Gantang lahir dalam tahun 1876 dan meninggal pada tahun 1948.Beliau lebih terkenal sebagai pendakwah dan guru Al Quraan yang mengajar di sebuah kampong ke sebuah kampong.Beliau dikatakan berdakwah dengan “ Perahu Cawat” .

9.Kadi Ahmad bin Mohd Pilus  1860-1928
            Kadi Ahmad dilahirkan sekitar pertengahan tahun 1860. Bapanya bernama Mohd Pilus anak kepada Abdullah Endol anak kepada Khatib Ngah, cucu kepada Panglima Bagus,beliau merupakan kadi ke enam dari Kg Berhala Gantang.

Tuk Shahibudin
Kadi Nong (1770-1800)
Kadi Abu Bakar(1800-1840)
Kadi Ismail(1840-1880)
Kadi Ibrahim (Kadi Besar Pahang)(1880-1910)
Kadi Ahmad(1910-1926)

Di antara karya yang di tulis oleh beliau yg dijumpai setakat ini kitab Hidayatul Wildan
Yang di cetak di Pulau Pinang.Kitab Ini di tashih oleh Tuk Kenali dari Kelantan.
           
PETIKAN KITAB HIDAYATUL WILDAN
Maka ku perkenankan akan mereka itu hal keadaannya dipungut daripada beberapa kitab yang muktabar dari ulama yang muhakkikin dan jika aku tiada patut bagi demikian sekalipun kerana aku harap akan maaf dan ampun daripada tuhan yang amat pengampun lagi amat pengasihani akan segala hambaNya. Dan aku namai ia :
(( HIDAYATUL’WILDAN FI AQA’AID AL IMAN)).
Dan aku minta akan Allah Taala bahawa ia memberi manfaat ia dengan dia bagi ku dan bagi sekalian murid yakni bagi sekalian orang yang berkehendak mereka itu dan tiada daya dan upaya ku hanyalah dengan tolong Allah Taala yang Maha Tinggi  lagi Maha Besar , Amin !!!

مقدمة قال العلامة الشيخ أحمد ابن محمد السحيمى رحمه الله تعالى ولا بد لمن أراد الخوض فى علم على وجه الاكمال أن يعرف المبادى العشرة , حده  , وموضوعه , وواضعه , واسمه , وغليته , وحكمه , ومقصوده , واسمداده , وفائدته , ونسبته

  TOKOH ULAMAK PAHANG 1988 ANUGERAH DARI KDYMM SULTAN PAHANG, SULTAN HAJI AHMAD SHAH IBNI ALMARHUN SULTAN ABU BAKAR RIAYATUDDIN AL MUAZZAM SHAH.
TUAN GURU HAJI HASANUDDIN BIN MOHAMMAD
  (1914-2005   )
Latarbelakang:
Nama : Haji Hasanuddin bin Mohammad,nama ibu beliau ialah Sopiah binti  Janal,merupakan anakcucu kepada Tuk Shahibudin, ulamak terkenal di Pahang sekitar awal abad ke 18.Melalui Janal anak kepada Imam Mat Ali anak kepada Imam Shamsuddin anak kepada Imam Baada anak kepada Tuk Shahibudin. Datuk beliau  Tuan Guru Haji Mohammad Ali juga merupakan seorang guru pondok yang terkenal di kampong Berhala Gantang sekitar awal 1900. Di atas usaha datuknya,beliau di hantar mengaji agama. Tempat Lahir: Kampung Berhala Gantang, Temerloh Pahang Darul Makmur. Rumah kediaman beliau masa kecil adalah di atas tapak sekolah menengah agama Al Wosto ketika ini,tanah itu seluas lima ekar dan di sebelah tebing berhampiran sungai Pahand tempat itu didirikan masjid batu  oleh Kadi Ahamd,akan tetapi belum genap setahun masjid itu di hanyutkan oleh banjir besar tahun 1926. Kawasan rumah kediaman beliau lebih di kenali dengan nama "Beroga".Bilangan Adikberadik: Sepuluh Orang, beliau yang ke 3 dari kalangan adikberadiknya tidak ada yang pergi mengaji jauh sebagaimana beliau,mereka hanya mengaji kepada Kadi Ahamd dan Imam Mat Ali sahaja.

Pendidikan:
Sekolah Rendah: Sekolah Rendah Kebangsaan Bangau Tanjung,Temerloh.
Menengah Rendah: Pondok Al Quraan Tuan Haji Man,Lubuk Kawah.
Menengah Tinggi: Pondok Tuan Guru Haji Ismail Mat Akil,Kg Berhala,Kuala Lipis.
Hubungan tuan guru dengan Tuan Guru Haji Ismal sangat rapat. Tuan Guru Haji Ismail sangat menyanyangi dua orang murid beliau pertama Haji Ismail yang akhirnya di kawinikan dengan anaknya dan tuan guru sendiri. Semasa perkahwinan Haji Ismail,tuan guru lah yang menjadi teraju utama bagi pihak lelaki yakni menguruskan semua berkaitan dengan pengantin lelaki. Setelah berkahwin Haji Ismail telah menyatakan hasrat untuk kembali ke Kampung Bangau Parit,hasrat ini ditentang keras oleh Tuan Guru kerana beliau sangat berharap Haji Ismail dapat mengantikan beliau apabila beliau tiada kelak. Maka terjadilah ketengangan di antara ayah mertua dengan menantu, sewaktu berpindah Tuan Guru Haji Ismail tidak membenarkan Haji Ismail membawa sebarang jenis pakaian atau peralatan untuk di bawa pulang ke Bangau, akan tetapi Haji Ismail seorang yang keras hati. Maka atas pujukan tuan guru,akhirnya hati Tuan Guru Haji Ismail menjadi lembut,maka pada satu hari tuan guru menceritakan beliau telah di suruh oleh Tuan Guru Haji Ismail membawa peralatan ke Bangau Parit, termasuklah dua ekor kambing yang di bawa menaiki rakit dari Kuala Lipis ke Bangau Parit.

Pendidikan Tinggi:  Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Tahir,Bunut Payung Kelantan.1941-47.

Pada tahun 1956 Tuan Guru ke Mekah,selama tinggal di Mekah beliau mengaji Ilmu Falak di sana selama 4 bulan khusus dalam Rubu Mujayyad. Sekembali dari Mekah tuan guru membuat satu takwin solat yang diberi nama Takwin Al Wosto,merupakan satu-satunya takwin yang ada di negeri Pahang selama beberapa tahun.
Sumbangan:
1.Mendirikan Sekolah Menengah Agama Al Wosto,Berhala Gantang  1948.
            - Peringkat Awal 1948- 1957
            - Peringkat Kemajuan 1960-1975
            - Peringkat Menurun   1975-1984
2.Menyertai  piliharaya bagi wakil calon PAS 1959
3.Membuat Takwin Solat bagi negeri Pahang
4.Hakim Musabaqah Al Quraan Peringkat Negeri Pahang 1960an dan 70 an
5.Pengerusi Jemaah Pengelola Sek Keb Bintang 1960-1975
6.Yang Di Pertua Persatuan Peladang Daerah Temerloh 1975-1980
7.Pengerusi Kilang Padi Kampung Berhala Gantang
8.Pengerusi Pekan Pelajar (Masisupa) Sekolah-sekolah Agama Negeri Pahang 1964
9.Imam Masjid Kampung Berhala Gantang 1950-1995
10.Penasihat Maahad Tahfiz Al Amin Kg Berhala Gantang & Tahfiz Kerdau
11.Penasihat AJK Falak Negeri Pahang (1997-2003)

Keistimewaan:
1-Puasa pada hari Isnin dan Khamis sejak dari muda
2-Solat Tahajjud setiap malam
3-Khatam al Quraan setiap bulan
4-Menguasai bahasa Arab & Pelbagai ilmu Fiqh,Tafsir,Sirah
5-Mulazamah kitab-kitab asas spt Ghayatul Taqrib,Khusun Hamidiyyah dll
6-Kuat berzairah terutama orang alim & orang tua-tua
Kenangan Manis:
1942    Terpaksa tinggal di Bunut Payung,Kota Bharu Kelantan selama 4 tahun tidak boleh pulang ke kampung kerana peperangan dunia kedua,terkurung di kawasan pondok Haji Abdullah Tahir.
1947    Balik ke Pahang terpaksa menghadapi suasana darurat dari tahun 1947-1952 namun tidak mematahkan semangat untuk mendirikan sekolah.
1964    Madrasah al Wosto merupakan pusat pendidikan yang terbesar di negeri Pahang dengan bilangan murid tetap/separa berjumlah hampir 400 orang.
1966    Berjaya mewujudkan kelas lapan di sekolah al Wosto yang setaraf dengan universiti
1970    Menghadapi kemelesetan ekonomi dan pelajar-pelajar tidak mampu membayar yuran sehingga ramai lari ke sekolah harian,
1982    Madrasah al Wosto  terpaksa diserahkan kepada kerajaan negeri.
1986    Menerima anugerah Tokoh Ulama Negeri Pahang
1996    Berjaya mewujudkan Maahad Tahfiz Al-Quraan al Amin Kampung Berhala Gantang

           

Keratan Syair Sifat:



Batu dan kayu beberapa faedah
Perahu dan jamban,dangau dan rumah
Segala yang keras tiada terbelah
Seperti  batu boleh di asah

Beras dan gandum asal makanan
Lainnya itu kudap kudapan
Negeri Melayu memakan ikan
Tertentulah nyata orang tebusan

Adat Melayu berkain panjang
Berbaju Lingga berikat pinggang
Berikat kepala sutera dan benang
Empat persegi bujur dan lintang

Bugis Makasar bertali liung
Kain kampung lagi berlingkung
Keris bersisip berkepala tajung
Dengan Melayu jadi berhubung

Lainnya itu beberapa bangsa
Kepada Melayu jadi semenda
Setengah Arab setengah Jawa
Kepala Arab jadilah raja

Demikian lagi Bugis Makassar
Deang dan Sultan ipar beripar
Tetapi Arab  tiada bergelar
Bangsanya mulia lagipun besar

Kepada zaman Sultan Mahmud
Daripada Kapar datang lah Benyut
Daripada Khalifah Sekubang Belut
Jadilah negeri sekalian kasud

Di dalam banyak pekerjaan
Masing-masing dengan ambilan
Setengahnya negeri beberapa perkataan
Setengahnya itu perkataan teman

Mengerjakan zikir terlalu bidaah
Suara dan laku banyak diolah
Umpama ugaman butari lukah
Kiri dan kanan.rebah dan rempah

Terlalu masyhur merata negeri
Selangkah Melayu sampai Patani
Fitnah agama hampir Mahadi
Sekalian nya jahil tiada berbudi

Sehabis kata bicara penyudah
Sebelum masuk ke dalam tanah
Batal ditangkap tidakkah tumpah
Buta yang tempang tidakkah rebah

Segala yang tidak beragama
Siang dan malam diperhamba dunia
Makan dan minum tidur dan jaga
Daripada seorang hendak berdua

Apabila jaga dari tidur
Menuju ke jamban dengan ke dapur
Perut hampa kurang hempulur
Hendakkan terik hilanglah kendur

KERATAN SYAIR KAYU

keratan Syair Kayu:

Segala kayu yang berkelarah
Pucuk menyurung batang bertambah
Daun dan kulit sungguh pun larah
Akar menyurung di dalam tanah

Dahan dan ranting bercabang-cabang
Ada yang lenjar ada yang rendang
Setengahnya pohon tidak berbatang
Setengahnya tumpat tidak berlubang

Ada yang lembut ada yang keras
Ada setengah tidak berteras
Setengahnya lurus setengah berpulas
Setengahnya rapuh patah terhempas

Ada yang putih ada yang merah
Setengahnya kering setengah bergetah
Ada setengah segera rasah
Setengahnya tidak dimakan tanah

Ada setengah kayu di hutan
Ada setengah tanam-tanaman
Setengah berbuah jadi makanan
Setengahnya tidak pergunaan

Ada setengah menjadi ubat
Ada setengah menjadi mudarat
Setengahnya banyak terlalu sangat
Setengahnya pula jarang di dapat

Ada setengah terlalu manis
Setengahnya masam menjalis
Setengahnya lazat tiada rengis
Setengahnya pahit rupanya majlis

Beberapa pula dihukumkan kayu
Bemban dan Tepus,Pisang dan Tebu
Salak dan Rengkam jumlahnya satu
Perimpin, Tebrau, Temiang, Balu


Demikian lagi segala akar
Dihukumkan kayu kata yang benar
Jikalau keras betapa pun besar
Baik memanjat,baik menjalar


Jikalau halus atau lembut
Sekaliannya itu jumlahnya rumput
Sekalipun besar jikalau lembut
Kecualikan rebung dinamai umbut

Lengkuas,Halia,Ubi Kemili
Temu dan Kunyit,Birah keladi
Wau dan Takuk demikian lagi
Sekaliannya itu dinamai isi

Jagung dan Sekoi,Kacang dan Padi
Biji dan Lenga keduanya lagi
Gandum dan Sai’i kelebihan roti
Sekalinnya itu dinamai biji

Nyor dan pinang masaknya larah
Rambai ,Rambutan putih dan merah
Langsat dan Durian berlainan wajah
Sekaliannya itu dinamai buah

CANTIKNYA SEORANG WANITA



Cantiknya seorang wanita itu sebagai

GADIS

Bukan kerana merah kilauan lipstik Pada bibir mekar senyuman kosmetik
Tetapi pada keperibadian terpelihara Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa


Cantiknya seorang wanita itu sebagai
REMAJA

Tidak pada kulitnya mulus menggebu
terdedah Untuk menggoda pandangan nafsu mata
Tetapi pada kehidupan terjaga
Dari menjadi mangsa tohmahan dunia

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
HAWA

Tidak kerana bijak meruntun iman kaum ADAM
Sehingga turunkan insan ke dunia
Tetapi menjdi pembakar semangat perwira
Menjadi tunjang perjuangan syuhada

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
 ANAK

Tidak menjerat diri pada lembah kederhakaan
Mengalir mutiara di kelopak mata
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa Pada hari kebangkitan bermula

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
ISTERI

Bukan kerana peneraju kerjaya dalam rumah tangga
Tetapi sentiasa bersama Menempuh badai disisi suami tercinta
Menjadi penghibur hati permata kehidupan
Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU
Bukan terletak pada kebangkitan anak Dalam setiap pertelingkahan
Tetapi dibawah lembayung kejayaan Membuai anak dikala suami menjalin impian

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
MERTUA

Tidak kerana berjaya meruntuh istana
Tetapi jalinan kasih sayang Tulus hati mengagih kasih setara pada semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
NENEK

Bukan memberi harta dunia Sehingga generasi lupa
Tetapi menjadi pada pendita Menjaring teladan para anbia pada anak bangsa

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
 WARGANEGARA

Bukan kerana menyandang puncak dunia
Tetapi bijak menangkis rintangan Peka
membela nasib dan maruah negara
Menjadi tulang belakang keteguhan semua

Cantiknya seorang wanita itu sebagai
 WARGA TUA

Bukan kerana jernihnya mutiara Mengalir deras di kelopak mata
Tetapi senantiasa mengumpul cahaya Menghitung hari dengan selembar nasihat

Cantiknya wanita itu sebagai
INTELEKTUALIS

Bukan kerana menjadi sebutan Sehingga menjulang keegoan
Tetapi dalam mencari ilmuan Menyala obor mewangi setanggi profesionalis

Cantiknya wanita itu sebagai
MUSLIMAH

Bukan kerana keindahan paras rupa Sehingga menjadi igauan mata
Tetapi berpegang Akidah Solehah Disebalik tirai jiwa
Mengandam rindu kekasih,pasrah di atas sejadah
Mengharap keredhaan kehidupan abadi