Do what you want to

do,Dream what you want to dream, Go where you want to go, Be what you want to be, because you only have one life and one chance to do all the things you want to do...


Sunday, February 27, 2011

SALSILAH ULAMAK DARI KG BERHALA GANTANG TEMERLOH PAHANG.


1.TUK SHAHIBUDIN BIN ZAINAL ABIDIN (1708/28-1800)
1708 Lahir di Kampung Tanjung Keramat,di Kuala Semantan ,Temerloh Pahang. Beliau berketurunan Minangkabau,keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Siak-Jambi yang membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700.Pada tahun 1750, Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang mempercayai  Ajaran Mertabat Tujuh, tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan Aliran Widatul Suhud sebagaimana yang di war-warkan oleh Sheikah Nuruddin Al Raniri di Acheh dan amanah gurunya Kadi Ismail. Beliau melaksanakan kerja ini dengan bersungguh sehingga berjaya meletakkan pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Acheh dan Jawa, beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di dalam bidang akidah serta tasawuff.

Tuk Shahibudin Sebagai Tokoh Penyair Pahang Abad Ke 18.
Pada tahun 1770an  Ketika usianya sudah lanjut Tuk Shahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pasentren di serahkan kepada anaknya Tuan Teh,Ketua kampung pula Imam Baada dan jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, juga Syair Ghafilah,Syair Sifat dan Syair Tumbuhan. Syair-syair ini di salin dan di simpan oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. Begitu juga di jumpai akhir-akhir ini Syair Pembasuh Tangan,Syair Kebun dan Syair Pengantin Berarak. Syair karya Tuk Shahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di perjumpaan keagamaan. Disamping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau amat kuat sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah meniru gaya Tuk Shahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “ ,karya ini pernah dijadikan thesis oleh Dr Fauzi Basri,bekas Naib Censelor UUM.

   Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin, tetapi menurut Kadi Ibrahim pula didalam kitab Syifa Al Abdan ialah Muhammad bin Zainal Abidin bin Shahibudin. Di dalam buku “Juble Perak Sek Men Agama Al Wosto” nama beliau di sebut “Teh Hassan”. Dilahirkan dalam tahun sekitar1750an dan meninggal sekitar awal tahun 1810 dalam usia hampir 60 tahun.
            Bagi meneruskan usaha ayahandanya Tuk Shahibudin, Tuan Teh mengarang banyak kitab-kitab agama seperti Tauhid, Usulfiqh dan Tasawuff. Usaha ini dilakukan bagi membanteras ajaran sesat yang berleluasa di Pahang ketika itu. Ajaran sesat yang wujud sejak sebelum zaman Tuk Shahibudin lagi terus wujud dimasa Tuan Teh seperti ajaran Hakikat Diri,Hakikat Sembahyang,Hakikat Sembelih,Hakikat Berjunub,Pantang pemali,Cuca,Ilmu Sihir,Ilmu Pengasih,Ilmu Kebal,Ilmu karut marut yang bercampur di antara ilmu agama, pawang dan ilmu pendekar. Kebanyakan guru-guru yang mengajar ajaran ini adalah secara sulit tidak berterus terang,sedangkan Rasullulah tidak pernah menyembunyikan ilmu beliau untuk sesiapa sahaja kerana sifat Baginda yang “Tabligh” menyampaikan semua ilmu kepada manusia.Tuan The di dalam satu watikah telah mengistiharkan bahawa semua ini adalah ajaran sesat yang bukan sama sekali dari Islam. Oleh kerana peranan yang begini besar beliau telah diberi gelaran oleh Prof.Dr. Harun Fatah Ibrahim  dari UKM sebagai orang yang pertama di Tanah Melayu yang menentang ajaran sesat  semasa di adakan Muktamar Tokoh Ulama UKM tahun 1983. Fatwa yang dikeluarkan oleh beliau disebarkan di seluruh negeri Pahang (Lihat lampiran).
             

Keratan kitab Raudatul Jinan Halaman 1:


Mudah mudahan insaflah kita dan sedarlah kita daripada lalai dan lenyap dengan sesuatu yang tiada berguna adanya iaitu dunia dan segala perhiasanya dan berpalinglah kita dan berpindahlah kita kepada mengasihi akhirat yang baqa dengan berbuat takutkan Allah dan mengerjakan segala suruhannya dan  menjauhkan segala tegahNya dengan tulus ikhlas dalam sekalian ibadat serta menjauhi diri kita dari mengasihi bagi dunia ini serta bersungguh-sungguh meminta tolong kepada Allah Subana wa’ Taala atas berbuat segala kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan dan meminta ampun dari segala dosanya dan kesalahan dan menerima segala nasihat dan menghantarkan segala ibadat dan mengambil kelakuan segala asfia[1] yang pilihan dan berseterulah dengan hawa nafsu dan dengan iblis dan syaitan dan hadirkan maut ini pada pintu hatinya dan sentiasa menghantarkan dirinya dalam kubur dengan seorang diri dan menilik akan segala kecelakaan dirinya dan menanggalkan ia kepada pangkat yang di bawah pada pihak dunia dan pangkat yang di atas pada pihak agama dan sentiasalah ia memandang dengan mata hatinya akan Allahsubhanawatala senantiasalah ia menilik kepadanya dan mengetahui segala halnya pada zahir dan batinnya tiadalah tersembunyi atasnya sesuatu jua pun.


Karya-karya beliau juga dijumpai di Sumatera Barat di dalam simpanan Marhum Haji Umar di kawasan Padang Sumatera Barat.Kealiman Tuan Teh juga diakui oleh banyak pihak sehingga beliau menerima pelbagai kunjungan dari ulamak-ulamak yang terdapat di Nusantara ketika itu seperti dari Sambas,Riau,Acheh,Terangganu dan Kelantan.
           




3. KADI JAAFAR  BIN TUK SHAHIBUDIN
            Kadi kedua yang dapat dikesan yang menjalankan tugas kadi di Daerah Temerloh selepas Kadi Ismail Bangau Tanjung. Beliau merupakan anak Tuk Shahibudin yang ke lapan. Dipercayai lahir sekitar awal 1750an dan meninggal awal 1820an. Beliau mendapat didikan awal dari bapanya dan dipercayai beliau mendapat pendidikan di Kota Mekah, sekembali dari Mekah beliau telah dilantik menjadi kadi di Daerah Temerloh.

4. LEBAI ENDAK
            Merupakan anak sulung kepada Tuan Teh, beliau seorang yang pintar tetapi pada masa kecilnya agak susah hendak belajar. Lebai Endak bukan lah nama beliau yang sebenar akan tetapi merupakan gelaran dari perkataan “Hendak”.  Oleh kerana masa kecilnya culas belajar maka dia agak ketinggalan dari adik beradiknya yang lain akan tetapi apabila dia mula hendak belajar bersungguh-sungguh maka dia menjadi lebih alim dari adik beradiknya yang lain.

5. IMAM CU AHMAD
            Tuan Guru merupakan cicit kepada Tuk Shahibudin, di lahirkan sekitar tahun 1840an, beliau merupakan antara empat orang tuan guru yang mempunyai bilangan murid yang ramai di Kampung Berhala Gantang. Tuan Guru mendapat pendidikan agama di Kampung Berhala Gantang dari peringkat serendah-rendahnya sehingga ke peringkat tinggi.
           
6. KADI ISMAIL
            Cicit kepada Tuk Shahibudin dari  sebelah ibu iaitu dari jaluran  Imam Baada yang beranakkan  Banun, Kadi Ismail mempunyai lima beradik antaranya Hawa, Zain, Ishak dan Hurairah. Hurairah beranakkan Kadi Ibrahim, jadi Kadi Ibrahim dan Kadi Ismail adalah sepupu dari sebelah ibu dan sepupu juga dari sebelah bapa.
             
7. KADI IBRAHIM BIN ABU HURAIRAH
1830-1918
            Kadi Ibrahim merupakan saudara dua pupu dengan Kadi Ahmad, keturunan dari Tuk Shahibudin dari sebelah perempuan. Manakala dari sebelah lelaki beliau adalah keturunan dari Datuk Matang di Perak Darulriduan. Datuk Matang merupakan seorang pembesar yang sangat berkuasa di Perak dan seorang yang sangat kaya. Beliau merupakan anak cucu Tun Perak dari jaluran Tun Telanai. Apabila Melaka alah kepada Portugis,orang-orang Melaka lari ke Johor Lama. Di sana mereka telah ditawan oleh Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Acheh. Dari Achehlah mereka pergi ke Perak. Setelah tinggal dan menguasai Perak,anak beranak Datuk Matang menjemput keturunan Raja Melaka yang masih berada di Acheh menjadi sultan di Perak.
Datuk Matang mempunyai seorang anak yang berani dan pintar yang bernama Panglima Bagus. Panglima Bagus memberi sumbangan yang banyak kepada kemajuan dan keamanan negeri Perak. Oleh kerana satu hal maka Panglima Bagus merajuk hati dan lari ke Pahang. Di Pahang beliau berkahwin dengan adik perempuan Tuk Shahbudin iaitu Meradah. Beliau membuka kampung di Kuala Temerloh. Maka kawasan itu di serahkan kepada pegangan beliau maka di namai oleh beliau kawasan itu Mukim Perak  bagi mengenang negeri yang telah ditinggalkan olehnya. Anak cucu beliau pernah menjadi Orang Kaya Temerloh beberapa ketika.
Pada masa Khatib Ngah beliau telah berkahwin dengan orang Berhala Gantang dan berpindah ke sana,beliau mendapat beberapa orang anak lelaki antaranya Khatib Hassan,Daharim dan Hurairah. Dari Hurairah lahirnya Kadi Ibrahim.
            Di samping menjadi Kadi Besar, beliau juga sempat mengarang beberapa buah kitab, antaranya:

a.      Kitab Syifa Al Abdan 3 Jilid
b.         Kitab Hidayatul Al Wildan
c.      Tafsir Surah Ikhlas
d.     Al Faaidaat Wal Al Muhaimmat.



Beberapa Petikan dari Kitab Syifa al Abdan

Petikan dari halaman 4:

(Amma Ba’du) Adapun kemudian daripada memuji Allah ,Tuhan yang menjadikan insan dan jin, selawat dan salam ke atas hambaNya yang paling dikasihiNya,Nabi Muhammad yang paling utama dari anak cucu Adnan,(Maka lagi akan berkata) hamba fakir yang sangat mengharap kepada rahmat Allah : Haji Ibrahim bin Hurairah,bekas Kadi Besar Pahang,(maka tatkala adalah pada hijrah Nabi s.a.w 1332 pada bulan Jamadil Awal,16 haribulan) Maka pada tarikh tersebut ini telah kuat himmahku dan tadbirku dengan gerak dan ilham daripada Allah pada membuat satu risalah bagi membicarakan idtikad Ahli Sufi yang pada jalan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah; iai tu Mazhab Imam Abu Hassan Al Asaari dan Imam Abu Mansur al Maturidi.
(Maka ilmu ini)diambil setengahnya dari padanya di dalam Kitab Futh al Ghaib karya Imam Mahyuddin Abdul Kadir Jailani dan setengahnya dari karya Imam al Hafni r.a dan setengahnya daripada Kitab Maqasid al Asani karya Imam al Ghazali. Maka yang dipungut itu sangat sedikit umpama lautan perciknya,umpama setitik jua daripadanya,mudah-mudahan dengan berkat syeikh-syeikh yang tersebut itu maka risalah ini dapatlah membuangkan dan membersihkan idtikad yang cemar daripada idtikad Mertabat Tujuh yang tiada tentu ahlinya, yang bukan dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah boleh menyesatkan akal dan idtikad orang awam.
(Maka ini ilmu dan idtikad) adalah pegangan ulamak Pahang keturunan daripada Haji Abdul Shukur bin Haji Abdul Kadir diambil oleh Kadi Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Shukur,Pahang di Kampung Kertau dan daripada Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin,Pahang di Kampung Balai Gantang, ia itu mengambil daripada Fakih Yusuf bin Abdul Salam; Ialah yang membuangkan segala Ilmu Mertabat Tujuh pada zaman Maulana Marhum al Maghfur Bendahara Ali dan Al Marhum wa al Maghfur Sultan Ahmad Shah 1, Pahang.  K.C.M.J.

8. HAJI ALI BIN HAJI AHMAD (1876-1948)
Cicit kepada  Tuk Shahibudin di Kampung Berhala Gantang lahir dalam tahun 1876 dan meninggal pada tahun 1948.Beliau lebih terkenal sebagai pendakwah dan guru Al Quraan yang mengajar di sebuah kampong ke sebuah kampong.Beliau dikatakan berdakwah dengan “ Perahu Cawat” .

9.Kadi Ahmad bin Mohd Pilus  1860-1928
            Kadi Ahmad dilahirkan sekitar pertengahan tahun 1860. Bapanya bernama Mohd Pilus anak kepada Abdullah Endol anak kepada Khatib Ngah, cucu kepada Panglima Bagus,beliau merupakan kadi ke enam dari Kg Berhala Gantang.

Tuk Shahibudin
Kadi Nong (1770-1800)
Kadi Abu Bakar(1800-1840)
Kadi Ismail(1840-1880)
Kadi Ibrahim (Kadi Besar Pahang)(1880-1910)
Kadi Ahmad(1910-1926)

Di antara karya yang di tulis oleh beliau yg dijumpai setakat ini kitab Hidayatul Wildan
Yang di cetak di Pulau Pinang.Kitab Ini di tashih oleh Tuk Kenali dari Kelantan.
           
PETIKAN KITAB HIDAYATUL WILDAN
Maka ku perkenankan akan mereka itu hal keadaannya dipungut daripada beberapa kitab yang muktabar dari ulama yang muhakkikin dan jika aku tiada patut bagi demikian sekalipun kerana aku harap akan maaf dan ampun daripada tuhan yang amat pengampun lagi amat pengasihani akan segala hambaNya. Dan aku namai ia :
(( HIDAYATUL’WILDAN FI AQA’AID AL IMAN)).
Dan aku minta akan Allah Taala bahawa ia memberi manfaat ia dengan dia bagi ku dan bagi sekalian murid yakni bagi sekalian orang yang berkehendak mereka itu dan tiada daya dan upaya ku hanyalah dengan tolong Allah Taala yang Maha Tinggi  lagi Maha Besar , Amin !!!

مقدمة قال العلامة الشيخ أحمد ابن محمد السحيمى رحمه الله تعالى ولا بد لمن أراد الخوض فى علم على وجه الاكمال أن يعرف المبادى العشرة , حده  , وموضوعه , وواضعه , واسمه , وغليته , وحكمه , ومقصوده , واسمداده , وفائدته , ونسبته

  TOKOH ULAMAK PAHANG 1988 ANUGERAH DARI KDYMM SULTAN PAHANG, SULTAN HAJI AHMAD SHAH IBNI ALMARHUN SULTAN ABU BAKAR RIAYATUDDIN AL MUAZZAM SHAH.
TUAN GURU HAJI HASANUDDIN BIN MOHAMMAD
  (1914-2005   )
Latarbelakang:
Nama : Haji Hasanuddin bin Mohammad,nama ibu beliau ialah Sopiah binti  Janal,merupakan anakcucu kepada Tuk Shahibudin, ulamak terkenal di Pahang sekitar awal abad ke 18.Melalui Janal anak kepada Imam Mat Ali anak kepada Imam Shamsuddin anak kepada Imam Baada anak kepada Tuk Shahibudin. Datuk beliau  Tuan Guru Haji Mohammad Ali juga merupakan seorang guru pondok yang terkenal di kampong Berhala Gantang sekitar awal 1900. Di atas usaha datuknya,beliau di hantar mengaji agama. Tempat Lahir: Kampung Berhala Gantang, Temerloh Pahang Darul Makmur. Rumah kediaman beliau masa kecil adalah di atas tapak sekolah menengah agama Al Wosto ketika ini,tanah itu seluas lima ekar dan di sebelah tebing berhampiran sungai Pahand tempat itu didirikan masjid batu  oleh Kadi Ahamd,akan tetapi belum genap setahun masjid itu di hanyutkan oleh banjir besar tahun 1926. Kawasan rumah kediaman beliau lebih di kenali dengan nama "Beroga".Bilangan Adikberadik: Sepuluh Orang, beliau yang ke 3 dari kalangan adikberadiknya tidak ada yang pergi mengaji jauh sebagaimana beliau,mereka hanya mengaji kepada Kadi Ahamd dan Imam Mat Ali sahaja.

Pendidikan:
Sekolah Rendah: Sekolah Rendah Kebangsaan Bangau Tanjung,Temerloh.
Menengah Rendah: Pondok Al Quraan Tuan Haji Man,Lubuk Kawah.
Menengah Tinggi: Pondok Tuan Guru Haji Ismail Mat Akil,Kg Berhala,Kuala Lipis.
Hubungan tuan guru dengan Tuan Guru Haji Ismal sangat rapat. Tuan Guru Haji Ismail sangat menyanyangi dua orang murid beliau pertama Haji Ismail yang akhirnya di kawinikan dengan anaknya dan tuan guru sendiri. Semasa perkahwinan Haji Ismail,tuan guru lah yang menjadi teraju utama bagi pihak lelaki yakni menguruskan semua berkaitan dengan pengantin lelaki. Setelah berkahwin Haji Ismail telah menyatakan hasrat untuk kembali ke Kampung Bangau Parit,hasrat ini ditentang keras oleh Tuan Guru kerana beliau sangat berharap Haji Ismail dapat mengantikan beliau apabila beliau tiada kelak. Maka terjadilah ketengangan di antara ayah mertua dengan menantu, sewaktu berpindah Tuan Guru Haji Ismail tidak membenarkan Haji Ismail membawa sebarang jenis pakaian atau peralatan untuk di bawa pulang ke Bangau, akan tetapi Haji Ismail seorang yang keras hati. Maka atas pujukan tuan guru,akhirnya hati Tuan Guru Haji Ismail menjadi lembut,maka pada satu hari tuan guru menceritakan beliau telah di suruh oleh Tuan Guru Haji Ismail membawa peralatan ke Bangau Parit, termasuklah dua ekor kambing yang di bawa menaiki rakit dari Kuala Lipis ke Bangau Parit.

Pendidikan Tinggi:  Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Tahir,Bunut Payung Kelantan.1941-47.

Pada tahun 1956 Tuan Guru ke Mekah,selama tinggal di Mekah beliau mengaji Ilmu Falak di sana selama 4 bulan khusus dalam Rubu Mujayyad. Sekembali dari Mekah tuan guru membuat satu takwin solat yang diberi nama Takwin Al Wosto,merupakan satu-satunya takwin yang ada di negeri Pahang selama beberapa tahun.
Sumbangan:
1.Mendirikan Sekolah Menengah Agama Al Wosto,Berhala Gantang  1948.
            - Peringkat Awal 1948- 1957
            - Peringkat Kemajuan 1960-1975
            - Peringkat Menurun   1975-1984
2.Menyertai  piliharaya bagi wakil calon PAS 1959
3.Membuat Takwin Solat bagi negeri Pahang
4.Hakim Musabaqah Al Quraan Peringkat Negeri Pahang 1960an dan 70 an
5.Pengerusi Jemaah Pengelola Sek Keb Bintang 1960-1975
6.Yang Di Pertua Persatuan Peladang Daerah Temerloh 1975-1980
7.Pengerusi Kilang Padi Kampung Berhala Gantang
8.Pengerusi Pekan Pelajar (Masisupa) Sekolah-sekolah Agama Negeri Pahang 1964
9.Imam Masjid Kampung Berhala Gantang 1950-1995
10.Penasihat Maahad Tahfiz Al Amin Kg Berhala Gantang & Tahfiz Kerdau
11.Penasihat AJK Falak Negeri Pahang (1997-2003)

Keistimewaan:
1-Puasa pada hari Isnin dan Khamis sejak dari muda
2-Solat Tahajjud setiap malam
3-Khatam al Quraan setiap bulan
4-Menguasai bahasa Arab & Pelbagai ilmu Fiqh,Tafsir,Sirah
5-Mulazamah kitab-kitab asas spt Ghayatul Taqrib,Khusun Hamidiyyah dll
6-Kuat berzairah terutama orang alim & orang tua-tua
Kenangan Manis:
1942    Terpaksa tinggal di Bunut Payung,Kota Bharu Kelantan selama 4 tahun tidak boleh pulang ke kampung kerana peperangan dunia kedua,terkurung di kawasan pondok Haji Abdullah Tahir.
1947    Balik ke Pahang terpaksa menghadapi suasana darurat dari tahun 1947-1952 namun tidak mematahkan semangat untuk mendirikan sekolah.
1964    Madrasah al Wosto merupakan pusat pendidikan yang terbesar di negeri Pahang dengan bilangan murid tetap/separa berjumlah hampir 400 orang.
1966    Berjaya mewujudkan kelas lapan di sekolah al Wosto yang setaraf dengan universiti
1970    Menghadapi kemelesetan ekonomi dan pelajar-pelajar tidak mampu membayar yuran sehingga ramai lari ke sekolah harian,
1982    Madrasah al Wosto  terpaksa diserahkan kepada kerajaan negeri.
1986    Menerima anugerah Tokoh Ulama Negeri Pahang
1996    Berjaya mewujudkan Maahad Tahfiz Al-Quraan al Amin Kampung Berhala Gantang

           

1 comment:

  1. Sallam mualaikum tuan....bolih tak diaturkan nasab keturunan Tok Sahibudin ...disatu pertemuan kerluarga,baik keturunan Datok Pengalima Bagus,Datok Suji Bilang....dan yang lain2nya....ini amat menarik bagi diri saya....!

    ReplyDelete