Aku sebutkan seorang manusia ni sebagai Mamat untuk memudahkan penceritaan aku. Ketika itu orang kampung berkejar-kejar untuk mendapat pahala berganda di hari jumaat, mamat ni punyai perancangan untuk lari dari mengerjakan solat jumaat.
Ketika azan berkumandang yang dilaungkan oleh muazin yang merdu suaranya ala-ala Faizal Tahir, mamat tanpa rasa bersalah masuk ke dalam hutan di hujung kampung. Sambil menuju ke hutan melalui denai, mamat sempat merembat beberapa biji buah yang masak ranum. Astagfirullah al-azim, teruk betul perangai mamat ni. Hehe.
Ternampak sebatang pokok yang selesa untuk berteduh dan langsung mamat melepakkan badannya yang sememangnya pemalas. Sambil berangan-angan bagaimana nak menjadi jutawan dan ingin memiliki sebuah mpv mewah, toyota vellfire 3.5cc. Tiba-tiba,
Mamat terdengur seperti bunyi mendengus kecil. Mamat cuba melihat secara rawak sekelilingnya tapi tidak kelihatan apa-apa. Hatinya dah seriau kerana bunyi tersebut semakin jelas. Mamat terus ambil keputusan untuk beredar sambil melihat-lihat sekelilingnya. Semakin lama dengusan semakin garau ala-ala Ramli Sarip.
Dalam langkah yang semakin laju, mamat terasa ada sesuatu yang berada di belakang. Tanpa buang masa, mamat menoleh kebelakang. Mamat beristighfar, dibelakangnya adalah pak belang, harimau yang memang sedang lapar menghala ke arahnya.
Mamat lari sekuat hati sesekali hilang imbang badan kerana keadaan geografi muka bumi di hutan tersebut yang tidak rata. Mamat toleh kebelakang, kelihatan harimau tersebut semakin hampir. Kerana tindakan sengal ubi mamat menoleh kebelakang, mamat tersadung pada sebatang kayu reput lalu tersungkur.
Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya mamat kerana dia tahu sudah pasti dia tidak dapat larikan diri dan sudah pasti menjadi mangsa lahap harimau yang sedang lapar tersebut. Tiada apa lagi yang mampu mamat lakukan. Mahu mohon bantuan dari orang lain, tidak kelihatan sesiapa di dalam hutan tersebut.
Mamat sempat ingat Allah. Lalu terus berdoa pendek dengan harapan dia selamat, “Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah harimau ini beriman”. Hanya itu yang sempat mamat berdoa tatkala melihat harimau semakin hampir dan habis peluh jantannya membasahi tubuh.
Tiba-tiba, harimau duduk seketika seraya mengangkat kakinya lagaknya seperti berdoa. Kemudian, harimau tersebut menerkam mamat lalu mamat menjadi mangsa kepada harimau tersebut. Kesian mamat.
Rupa-rupanya doa mamat makbul. Harimau tersebut memang beriman sebab sebelum mamat dijadikan makanannya, harimau tersebut sempat membaca doa makan!
semoga mendapat pengajaran
No comments:
Post a Comment