Do what you want to

do,Dream what you want to dream, Go where you want to go, Be what you want to be, because you only have one life and one chance to do all the things you want to do...


Showing posts with label sejarah pahang. Show all posts
Showing posts with label sejarah pahang. Show all posts

Friday, September 28, 2012

GAJAH VS SINGA





Pahang Fa atau lebih dikenali dengan nama Tok Gajah...
MAmpukah mereka sekali membenamkan Lion dalam pertemuan 
kedua setelah menang 2-1 di stadium darul Makmur..

Hogoh pahang Hogoh Amok Gajoh Amok!!!!!!






Mampukah mereka mengekalkan prestasi..??

sama2 kita doakan...

setia sebagai penyokong walau apa kesudahannya...

Hogoh pahang Hogoh...!!!!!!!!

Amok gajoh Amok...!!!!!!!!

Pahang benam singa 2-1 --->  Video

Result dan jadual perlawanan

Friday, September 21, 2012

GUA KOTA GELANGGI PAHANG


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, bagi anak jati Pahang terutama yang tinggal di Jerantut, Gua Kota Gelanggi ini mesti tidak asing lagi, Gua Kota Gelanggi yang dikatakan menyimpan pelbagai kisah misteri.


Gua Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut, Pahang menyimpan pelbagai cerita ganjil dan misteri.

Di dalam gua ini, terdapat tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.

Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan puteri Datuk Indera Raja Laut.

Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya, tetapi tidak berjaya.

Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang serta-merta membunuhnya.

Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.

Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.

Terdapat pula versi yang menyatakan pada masa dahulu, mukim Pulau Tawar di daerah Jerantut adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya, Raja Gelanggi mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan seorang anak raja di Rembau bernama Raja Usul.

Puteri

Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima pinangan itu.

Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota Gelanggi dengan tujuan untuk menghantar hadiah kepada tunangnya.

Kapalnya ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota.

Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang dijalankan lantas berlaku peperangan antara angkatan Raja Usul dan Raja Mambang.

Ketika inilah, Sang Kelembai muncul dan menegur tentang perangai mereka yang sanggup berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua yang ada di situ menjadi batu, kapal menjadi tanah, laut menjadi padang dan sungai menjadi lembah.

Mengikut versi seorang penyelidik bernama Cameron pula, seorang raja bernama Raja Gelanggi mempunyai seorang anak perempuan cantik dan menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis.

Putera itu meminta ayahandanya menyunting puteri itu tetapi puteri berkenaan menolaknya.

Pada ketika yang lain, seorang putera raja kepada Raja Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu menculiknya dan membawa puteri itu pulang ke Bera.

Puteri Gelanggi tidak membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja Usul.

Culik

Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang. Walaupun pada mulanya Raja Gelanggi terlibat dalam peperangan dengan Raja Usul bagi mendapatkan kembali puterinya, baginda kemudian menyerahkan hal itu kepada Raja Mambang kerana puterinya hidup bahagia.

Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja Usul tetapi malangnya baginda sendiri yang terbunuh.

Menurut Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Aripin Said, berdasarkan kajian yang dilakukan, berlaku pergaduhan antara Raja Kota Gelanggi iaitu Raja Mambang dan Raja Tasik Bera yang mahu menakluk antara satu sama lain tetapi keadaan menjadi reda apabila Raja Mambang berkahwin dengan Puteri Tasik Bera.

“Semasa persandingan, Sang Kelembai telah datang dan menegur menyebabkan kesemuanya bertukar menjadi batu.

“Oleh sebab itu, ada batu yang seakan-akan menyerupai orang sedang bersanding, gajah dan singa terdapat dalam gua misteri ini.

“Dikhabarkan juga terdapat sebuah kota yang tidak ditemui tetapi hanya mereka yang bernasib baik akan terjumpa kota yang dipercayai tempat raja bersemayam.

“Keadaan di dalam tujuh kota ini juga gelap dan tidak semua pelancong yang datang akan menjelajah kesemua kota disebabkan faktor keselamatan,” jelasnya.

Tambahnya, kisah misteri gua tersebut juga ada diceritakan di dalam buku Cerita-Cerita Rakyat Pahang. Seorang profesor dari Jerman juga pernah merakamkan cerita di sebalik gua ini kira-kira dua tahun lalu.

“Mengikut kajian arkeologi juga mendapati sebuah negeri pernah wujud di gua ini berdasarkan kepada beberapa penemuan.

Monday, December 5, 2011

KISAH : WAN DAUD BIN WAN PAHANG ( ORANG KAYA HAJI )

Pada tahun 1803M (1224H), Wan Pahang bin Tun Wok ( Wan Muhammad b. Tun Abdul Latif, Maharaja Perba Jelai I ) telah dikahwinkan oleh Sultan Johor-Linggi (Sultan Abdul Jalil) dengan Tok Meriam (Nama sebenar beliau mungkin Tun Mariam iaitu anak Daeng Kemboja dengan Tunku Fatimah). Hasil perkahwinan tersebut, antara tahun 1804 dan 1805 lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Daud b. Wan Pahang. Tinggallah beliau di Pahang untuk beberapa ketika.

Apabila beliau telah meningkat dewasa beliau telah dihantar ke Riau untuk mendalami ilmu agama daripada Imam Bonjor selama 20 tahun. Ini adalah sebagai persiapan menggantikan ayahanda beliau selaku Seri Maharaja Perba Jelai pemegang hukum syarak di samping Wan Ideris bin Tun Wok, Indera Mahajara Perba Jelai pemegang hukum adat. Pada penghujung tahun 1840-an atau awal tahun 1850-an, Wan Daud kembali dari Riau untuk menggantikan ayahanda beliau menjaga Kuala Kuantan. Semasa beliau di Kuala Kuantan, beliau telah menjadi Kepala Perang kepada 70 kepala tentera, beliau turut dikenali sebagai “Tok Daud 7 Lapis”. Beliau hidup sederhana walaupun memiliki lombong emas di Bukit Selingsing. Justeru sifat pemurah dan dermawan beliau terutama kepada mereka yang akan berlepas ke Tanah Suci Mekah, beliau diberi gelaran Orang Kaya Haji.

Di era 1850-an Pahang dilanda Perang Saudara antara Tun Ahmad dan Tun Mutahir atas pertelingkahan merebut jawatan Bendahara Siwa Raja selepas kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Siwa Raja Tun Ali.

Pada penghujung tahun 1850-an, Perang Saudara antara Wan Ahmad (Tun Ahmad) dengan Wan Mutahir (Tun Mutahir) masih berlarutan. Wan Daud pada awalnya tidak menyertai perang berkenaan. Beliau menganggap bahawa perebutan jawatan berkenaan telah diselesaikan bersama Sultan Abu Bakar Johor apabila jawatan Bendahara Siwa Raja diserahkan kepada Wan Mutahir dengan syarat dilantik Wan Ahmad sebagai Bendahara Muda selepas beliau.

Wan Daud hanya menyertai perang pada penghujung 1850-an atau awal 1860-an apabila berlaku pembunuhan terhadap bapa saudara sepupu beliau iaitu Wan Embung bin Tun Muhammad bin Tun Abdul Latif oleh salah seorang pengikut Tun Mutahir. Kepala jenazah Wan Embung telah dipancung dan diwar-warkan sebagai penderhaka. Di samping itu, rakyat di Tanah Hulu didenda 4 mayam emas atau anak isteri dirampas dan dijadikan tebusan. Rentetan itu , Wan Daud telah menyebelahi pasukan Wan Ahmad yang turut disertai oleh pasukan bapa saudara beliau Wan Ideris bin Wan Muhammad (Tun Wok) dan sepupu beliau Wan Muhammad bin Wan Ideris yang ketika itu bergelar Orang Kaya Setia Muda.

Pada tahun 1863, Perang Saudara pun tamat di mana pihak Tun Ahmad telah memenangi perang berkenaan. Atas sumbangan beliau dalam perang berkenaan, pada jam 2.00 petang hari Ahad 16 Rejab 1280H bersamaan 27 Disember 1863, Wan Daud bin Wan Pahang diberi gelaran Maharaja Setia Raja dengan anugerah air Lipis cucur ke Lipis hingga ke puncak air meleleh melalui watikah kurnia Bendahara Siwa Raja. Perlantikan ini telah diperkenankan oleh Sultan Abu Bakar Johor.

Sekitar tahun 1860-an hingga 1880-an, Pihak Inggeris telah datang ke Pahang bertemu pembesar Tanah Ulu bagi mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk mendapatkan persetujuan bersama kompeni Inggeris. Antara pertemuan yang penting adalah pertemuan pembesar tanah ulu bersama Sir Hugh Charles Clifford di sekitar tahun 1880-an. Melalui mesyuarat tersebut, Wan Muhammad (bergelar Orang Kaya Setia Muda) yang mewakili bapa beliau Wan Ideris telah bersetuju menerima pencen setiap bulan. Manakala Wan Daud yang mewarisi pusaka ayahanda beliau tidak bersetuju menerima pencen tetapi menggantikannya dengan cukai. Inggeris membawa keputusan mesyuarat dan perbincangan ini ke England untuk pertimbangan dan persetujuan Inggeris.

Atas perintah Inggeris, Wan Daud turut mendaftarkan tanah-tanah yang diperlukan beliau seperti lombong emas, sawah, ladang, rumah kediaman, kampung halaman dan sebagainya. Menurut maklumat yang diterima, sebanyak 10 kawasan telah didaftar oleh beliau dan digerankan oleh pemerintah Inggeris.

Beliau turut membina rumah kediaman baru di Budu bagi menggantikan tapak rumah beliau di Kuala Lipis yang dicadangkan untuk dijadikan kepala Negeri Pahang. Dimaklumkan bahawa sekiranya kepala negeri ditukarkan ke tempat lain, maka hak pusaka di Kuala Lipis hendaklah dikembalikan kepada pewarisnya masing-masing. Beliau membina sebuah rumah baru di Kampong Tanjung Tualang, Budu yang dikenali sebagai Rumah Gedang.

Wan Daud juga dikatakan telah pergi bersama Tok Teh ke Johor menemui Sultan Abu Bakar di Istana Johor ( Muzium Negeri Johor Sekarang ) untuk menyerahkan surat persetujuan beliau dengan pihak Inggeris.

Apabila rumah berkenaan siap, beliau pulang ke Kuala Lipis untuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru tersebut. Beliau meminta penduduk kampung untuk membantu beliau membawa segala kelengkapan, peralatan dan barangan beliau berpindah ke Budu. Peristiwa ini berlaku di sekitar penghujung tahun 1888 atau awal tahun 1889.

Tindakan mengumpul penduduk kampung ini telah digunakan untuk memfitnah beliau yang kononnya sedang mengumpul tentera dan penduduk kampung untuk menyerang Pekan. Kesempatan ini telah digunakan untuk membunuh Wan Daud Seri Maharaja Setia Raja yang kononnya atas arahan Baginda Sultan. Beliau difitnah sebagai gila, hilang akal, mengamuk dan mesti ditembak mati. Inilah yang dirakam oleh buku sejarah kita seperti yang diungkap dalam buku Sejarah Pahang karangan Haji Buyong b. Adil. Gugurlah beliau dengan tiga das tembakan. Pertama di buku lali, kedua di peha dan ketiga di dahi. Kisah sebenar berhubung punca dan alasan pembunuhan beliau tetap menjadi simpanan dan kenangan pahit waris keturunan ini.

Sebaik sahaja rebah, Wan Muhammad menerpa dan memangku beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau sempat berpesan kepada Wan Muhammad, “sekiranya aku meninggal, janganlah engkau kuburkan aku di Bukit Betong, kuburkanlah aku berdekatan kubur guruku di Tanjung Rambai”. Sesudah melafazkan kata-kata tersebut, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia lebih kurang 84 tahun.

Gugurlah seorang pahlawan yang setia kepada Raja dan sentiasa sedia membela agama, bangsa dan tanah air. Bersemadilah beliau di sana sebagaimana amanat sebelum kemangkatan beliau.

Sumber : Warisan Purba Site

Thursday, December 1, 2011

Resepi Ikan Patin Masak Tempoyak





Temerloh, bila sebut nama temerloh sudah pasti ikan patin masak tempoyak lah yang dicari di sini.Inilah
 resepi yang paling special di temerloh ni.. tapi bagi anda yang pertama kali ingin mencuba berhati2 kerana ikan patin ini banayak jenis dan grednya.. dan harganya boleh mencecah RM80 – 150 untuk sekilo. Jadi tak mustahil jika anda makan seketul ikan patin harganya RM5-8 ..Bagi yang kali pertama eloklah bertanya terlebih dahulu samaada ikan patin tu pating sangkar ke patin original sungai.. yang ori tu memang mahal lah..

                               .
Ikan patin masak tempoyak ni rasanya sangat enak, masam dan pedas tu memang mengecurkan air liur korang yang membaca ni. Bukan korang je, tukang conteng ni pun sama. Air liur dah meleleh dah ni.. Hahahaha….

Ada macam-macam versi ikan patin masak tempoyak ni. Ada yang masak pakai cili padi dan ada yang masak pakai cili merah. Jadi, mungkin ada yang nak merasa masakan ni. Kat sini aku kasi kat korang resipi menakjubkan ini.. Resepi Ikan Patin masak tempoyak versi temerloh

Jom belajar macam mana nak masak patin ni…





Bahan-bahan utama
§  Seekor ikan patin (eloknya ikan patin sangkar) ikan disiang dan diperapkan dengan asam jawa dan limau nipis untuk hilangkan hanyir selama kira-kira 1 jam.
§  2 ulas kunyit hidup (bukan serbuk kunyit)
§  6 biji bawang kecil.
§  20 biji cili padi (bergantung pada suka pedas mana ya)
§  2 senduk tempoyak
§  1 ikat daun kesum
§  2 ikat bunga kantan ( yang guna untuk masak laksa tu)
§  sedikit asam keping
§  air
§  garam secukup rasa
§  gula (jika perlu dan jika suka)

Cara memasaknya
Kunyit hidup, bawang kecil dan cili padi ditumbuk halus dan digaulkan dengan tempoyak tadi. Masukkan ke dalam periuk yang bersama air. Lepas tu kacau sehingga rasa dan masukkan asam keping. Letak di atas api dan biarkan selama kira-kira 3 minit.  Masukkan ikan yang dibersihkan tadi, masukkan bunga kantan dan daun kesum.
Masukkan garam secukup rasa, adjustlah kalau takut pedas dengan mengurangkan jumlah cili tadi. Kalau terlajak, adjust dengan meletakkan sedikit gula ok…

Cadangan Hidangan
Ini kalau makan dengan nasi putih lepas tu ada plak sambal belacan ke sup panas.. Memang best laaa… So.. apa salahnya cuba ya tak??

p/s : selamat menjamu selera.

Sunday, February 27, 2011

SEJARAH KAMPUNG BERHALA GANTANG



Berhala Gantang adalah sebuah kampung kecil dalam Mukim Sanggang letaknya di sebelah kanan mudik sungai Pahang. Lebih kurang 6 km dari Bandar Temerloh. Kampung ini dipercayai di asaskan pada tahun 1176H/1729M oleh seorang yang bernama Shahibudin Bin Zainal Abidin Bin Suji Bilang. Pada masa tersebut Negeri Pahang mengalami perebutan kuasa di antara waris Kesultanan Melayu Melaka iaitu Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Perebuatan ini tidak menjejaskan kedudukan sosial dan ekonomi penduduk setempat. Ini kerana jalan keluar membawa hasil mahsul adalah melalui Penarikan di Ulu Muar, kebanyakan di kawasan hulu sungai Pahang dikuasai oleh orang-orang Melayu Minangkabau, Rawa dan Mendailing. Mereka mengadakan perhubungan perdagangan dengan orang-orang Belanda di Melaka.


Kampung Berhala Gantang bukanlah sebuah Kampung yang tertua di dalam Negeri Pahang, malah ia merupakan sebuah perkampungan baru jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain seperti Chenor, Bera, Mengkarak, Pulau Tawar, Badok, Kg. Mengkasar, Sungai Ma’ Dulang, Bangau dsb. Asal usul Tuk Shahibudin adalah dari Minangkabau kemudian berpindah ke Negeri Sembilan. Dari sana, mereka masuk ke Pahang dan menetap di Chenor. Di Chenor keluarga ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan di beri kuasa lalu membuka penempatan di Mengkarak. Dari Mengkarak, Tuk Suji Bilang pergi membuka perkampungan di Tanjung Keramat, Bangau. Di situlah Tuk Shahibudin membesar dan belajar. Setelah dewasa dan berkahwin maka menurut adat Minangkabau anak lelaki pantang duduk di rumah, maka beliau pergi berdakwah ke merata Negeri Pahang hinggalah diputuskan oleh Allah membuka kampung di Berhala Gantang.


Kampung ini di bina dengan hanya satu tujuan untuk dijadikan pusat pengajian Islam bagi negeri ini. Pusat pengajian yang hanya berasakan Al Quran dan Al Sunnah menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini kerana pada masa itu Negeri Pahang di kuasai oleh aliran Panthisne Hamzah Fansuri iaitu Fahaman Mertabat Tujuh dan bermacam-macam aliran lain lagi yang kebanyakannya cenderung kepada Sufisisme. Ajaran ini merupakan ikutan kepada fahaman Wihdatul Wujud yang diasaskan oleh Ibn Arabi Al Sufi. Di samping itu juga ajaran Islam di negeri ini bercampur dengan khurafat dan bidaah yang melampau – lampau.



Antara lain matlamat Tuk Shahibudin ialah untuk mengislamkan penduduk tempatan yang terdiri dari orang Asli yang liar. Orang Asli pada masa itu terkenal dengan kebolehan mereka di dalam bidang ilmu sihir dan perbomohan, apabila mereka memeluk Islam amalan ini masih di teruskan.


Tuk Shahibudin berjaya di dalam usahanya yang pertama iaitu membina sebuah penempatan dan mendirikan sebuah Sekolah Agama yang sistematik. Beliau juga berjaya menjadikan kampung ini sebuah estet menanam pokok kelapa dan padi. Beliau juga berjaya membangunkan sebuah penempatan yang tersusun dan menarik orang ramai untuk tinggal di kampung ini, dalam masa yang singkat Kampung Berhala Gantang sudah menjadi satu kawasan penempatan yang maju serta ramai penduduk.
Ketegasan Tuk Shahibudin dan kebolehan beliau di dalam pelbagai ilmu persilatan menyebabkan nama beliau terkenal di Negeri Pahang ketika itu, Tuk Shahibudin tidak bertolak ansur di dalam soal aqidah dan amalan Islam, hampir 90% penduduk Islam di Pahang mengamalkan ajaran Suluk Hamzah Fansuri sebaliknya Tuk Shahibudin mengikut fahaman Insaniyah Nuruddin Al Raniri dan mengikut Tarekat Al Hadad dari Yaman. Ini berlainan dengan tarekat-tarekat tempatan ketika itu yang cenderung kepada Naqsabandi. Tuk Shahibudin pernah berperang dengan suku Rawa di kawasan Jerantut kerana membenteras ajaran sesat dan karut marut.


Perjuangan beliau disambung oleh anak cucu beliau yang semuanya alim-alim belaka seperti Teh Mohd Hassan yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Teh Keramat yang makamnya terdapat hingga ke hari ini di Kampung Berhala Gantang, sehingga pernah makamnya dijadikan oleh orang-orang jahil sebagai tempat bernazar. Semasa Tuan Teh, Kampung Berhala Gantang telah diiktiraf sebagai sebuah jajahan, Tuan Teh telah dilantik sebagai Mufti dan Qadi bagi daerah Temerloh oleh Bendahara Tun Abdul Majid. Dan sebagai leluhur dari Orang Kaya Indera Segaradi kawasan Jempol, Rembau dan Triang, Tuan Teh diberi memegang kekuasaan dari Sungai Lebak hingga ke Gunung Senyum terus ke Bukit Segumpal.


Selepas kematian Tuan Teh, kampung ini terus menjadi pusat pengajian yang terkenal, ini kerana anak Tuk Shahibudin yang dilantik menjadi Qadi adalah tiga orang iaitu Qadi Nong dan Qadi Abu Bakar Sanggang selain Tuan Teh sendiri. Imam Syam yang dilantik mengantikan Tuan Teh berjaya meneruskan usaha datuk neneknya menjadikan kampung ini pusat pendidikan agama yang tinggi.




Kampung ini menjadi tempat orang dari seluruh Negari Pahang mendapat pendidikan samada untuk dunia dan akhirat. Ramai juga pembesar-pembesar mencari jodoh untuk anak gadis mereka daripada penduduk kampung ini. Oleh sebab itu salsilah anak cucu Tuk Shahibudin berkembang ke hilir seperti di Lebak, Tengguh, Guai hingga ke Mentiga dan ke hulu seperti Sanggang, Loyang, Lipat Kajang, Pualu Pasir Mandi hingga ke Kuala Lipis.
Semasa pemerintahan Bendahara Ali, Negeri Pahang menjadi aman makmur dan penduduknya menikmati taraf kehidupan yang tinggi, salah satu sebabnya ialah kerana kekuatan kehidupan beragama di kalangan anak negeri. Dari suasana politik yang tidak ketentuan pada masa Bendahara Sultan Abdul Jalil bertukar menjadi stabil. Bagi penulis keadaan ini amat jelas menunjukkan kejayaan Tuk Shahibudin dan anaknya Tuan Teh mengembangkan agama Islam di negeri ini dan menyatukan mereka di bawah satu payung kesatuan ummah yang padu.
Dalam sekitar tahun 1870 hingga 1900, Kampung Berhala Gantang mempunyai sebilangan ulama yang terkenal seperti Qadi Besar Pahang , Qadi Ibrahim bin Abu Hurairah, Imam besar Mohammad, Tuan Haji Ali bin Sham, Tuan Haji Ahmad bin Abdullah pendek kata kampung ini tidak putus-putus selama 150 tahun mempunyai guru agama yang berjuang secara sukarela bagi kepentingan agama dan bangsa. Mereka juga dipanggil oleh penduduk sesuatu kawasan datang tinggal di tempat mereka dan menetap di sana seperti di kawasan kiri kanan sungai Semantan hingga ke Kuala Kaung dan Jambu Rias masih terdapat jalur keturunan Tuk Shahibudin. Anak cucu beliau memberi sumbangan yang besar di dalam memaju dan membuka perkampungan baru.
Selepas kemasukan British ke Pahang, kedudukan kampung ini terus stabil, penduduk kampung ini oleh kerana tradisi kekuatan beragama, bersolat jemaah, bergotong – royong, mempastikan anak-anak boleh membaca Al Quran dan berbahasa Arab mereka terus dihormati oleh British, sehingga jawatan Qadi daerah Temerloh ini menjadi jawatan “Qadi Berhala Gantang” yakni secara turun temurun di pegang kuasanya oleh orang Kampung Berhala Gantang sejak dari zaman Tuan Teh, Qadi Nong, Qadi Abu Bakar, Qadi Ismail, Qadi Ibrahim, Qadi Ahmad sehingga ke zaman sebelum darurat.
Orang – orang Kampung Berhala Gantang juga terkenal sebagai ahli perniagaan dan pertukangan, dalam awal tahun 1900 mereka menguasai pasar di Temerloh, contohnya pekan sehari Ahad pada masa dulu hanya dua golongan besar saja yang terlibat menjual barangan di situ iaitu orang Kampung Berhala Gantang dan Orang Kampar Batu Satu. Mereka juga pandai mencari bijih timah dan emas, hal ini sebelum kemasukan British dan dikuatkuasa oleh Kerajaan Pahang ketika itu. Orang Kampung Berhala Gantang juga mahir di dalam bidang pertukangan, sehingga mereka dijemput mendirikan masjid di sekitar Daerah Temerloh, contohnya masjid Songsang dsb.

Pada masa kedatangan Jepun, penduduk kampung ini masih bersemangat untuk menghidupkan sekolah agama walaupun di dalam keadaan tidak tenteram dan sukar untuk mendapatkan peralatan, bersama-sama ketua kampung Allahyarham Abdullah Yaakub bin Awang Naib, Tuan Haji Zakaria bin Hj Ibrahim, Khatib Dollah bin Janal, Ismail bin Janal, Cikgu Yaakub bin Simat, Bilal Omar bin Kia, Tuan Haji Sham bin Yusuf, En Md Noor bin Sitam, Tuan Hj Taib bin Nong Tahir, En Mustaffa bin Arshad mereka berusaha bersama-sama mengumpulkan wang dan membeli tanah dari En Idris bin Hassan untuk dibuat tapak sekolah. Maka akhirnya lahirlah Madrasah Al Wosto di atas sebidang tanah seluas satu ekar dan pondok di atas tanah seluas hampir lima ekar.
Pada masa kebangkitan semangat kemerdekaan, penduduk kampung ini tidak lepas dari sama-sama bangun menentu British keluar dari Tanah Melayu. Sebahagian dari mereka telah memasuki API, AWAS, INSAF, KMM dan Hizbul Muslimin, Penduduk kampung ini sama sekali tidak menyokong British sebab itu mereka tidak dengan A/C, sebaliknya mereka ditohmah sebagai tali barut komunis. Sehingga Ketua Kampung pada masa itu hendak dibunuh oleh komunis barulah pihak Inggeris percaya bahawa penduduik kampung ini tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.
Selepas kemerdekaan, kampung ini telah menjadi sebuah pusat pengajian yang paling besar di Negeri Pahang, dengan murid yang hampir 300 orang dan dapat mengadakan kelas hingga tingkatan lapan, sama setanding dengan sebuah universiti di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Hasanuddin Bin Muhammad, Madrasah Al Wosto juga telah berjaya mengasah bakat murid-murid di dalam aktiviti Ko Kurikulum. Pelajar – pelajar ini dapat menjuarai beberapa kategori pertandingan peringkat daerah dan negeri seperti di dalam kategori bola sepak dan musabaqah Al Quran. Sekolah ini begitu maju sehingga perbelanjaan tahunannya menjangkau RM 13,572 setahun (nilai pada masa itu)
Dalam akhir tahun 70an dan awal 80an merupakan zaman kemelesetan ekonomi dan berlaku banjir besar sebanyak dua kali, ini menjadikan ekonomi penduduk kampung agak sukar. Namun usaha untuk mencapai kemajuaan tidak pernah lekang dari lubuk hati mereka, dengan wujudnya universiti dan pusat pengajian tinggi tempatan, maka mulalah penduduk kampung ini menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke universiti, sehingga kini hampir 100 orang anak-anak kampung ini berjaya menjejakkan kaki ke Universiti. Pada tahun 1982, dengan sebab keuzuran Tuan Guru Haji Hasanuddin telah menyerahkan kuasa pentadbiran sekolah Al Wosto kepada Jabatan Agama Islam Pahang, sekali lagi penduduk kampung ini dengan sukarela mewakafkan tanah bagi tapak sekolah.



Era 90an, kampung ini telah melangkah setapak lagi denagn mendirikan Maahad Tahfiz Al Quran, dalam usaha menjadikan penduduk kampung ini mengambil berat tentang pendidikan Al Quran, semoga Intitusi ini menjadi sebuah Jamiaah atau kolej yang dapat melahirkan para ulama yang berketerampilan di dalam soal – soal keagamaan, ini tergantung kepada setakat mana kesungguhan anak cucu Tuk Shahibudin merealisasikan impian datuk nenek mereka di masa lampau, sejauh mana meraka sanggup berkorban wang ringgit dan tenaga mereka bagi agama.
Pada masa sekarang , Kampung Berhala Gantang telah menikmati pelbagai kemajuaan dan menerima pelbagai peruntukan yang lebih baik dari kampung – kampung di sekitarnya. Semoga Allah memelihara kita dan menjayakan hasrat, cita – cita dan niat kita bersama.








MAKAM TUAN TEH ULAMA ISLAM







TUAN TEH MERUPAKAN ANAK KEPADA TUK SHAHIBUDIN, BELIAU BANYAK MENGARANG KITAB2 ANTARANYA KITAB RAUDATUL JINNAN YG DI CETAK DI
PERCETAKAN FATH KARIM DI MEKAH

SALSILAH ULAMAK DARI KG BERHALA GANTANG TEMERLOH PAHANG.


1.TUK SHAHIBUDIN BIN ZAINAL ABIDIN (1708/28-1800)
1708 Lahir di Kampung Tanjung Keramat,di Kuala Semantan ,Temerloh Pahang. Beliau berketurunan Minangkabau,keluarga ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Siak-Jambi yang membantu Raja Kecil melanggar Pahang sekitar awal tahun 1700.Pada tahun 1750, Beliau membuka Kampung Berhala Gantang setelah gagal dalam usahanya untuk mengubah kepercayaan masyarakat Pahang ketika yang mempercayai  Ajaran Mertabat Tujuh, tujuan membuka kampung adalah bagi mendirikan pusat pendidikan yang berasaskan Aliran Widatul Suhud sebagaimana yang di war-warkan oleh Sheikah Nuruddin Al Raniri di Acheh dan amanah gurunya Kadi Ismail. Beliau melaksanakan kerja ini dengan bersungguh sehingga berjaya meletakkan pusat pendidikan beliau setaraf dengan pusat pendidikan di Acheh dan Jawa, beliau mengajar pelbagai kitab yang masyhur di dalam Mazhab Syafie dan juga di dalam bidang akidah serta tasawuff.

Tuk Shahibudin Sebagai Tokoh Penyair Pahang Abad Ke 18.
Pada tahun 1770an  Ketika usianya sudah lanjut Tuk Shahibudin mula mengarang syair-syair, segala kegiatan pasentren di serahkan kepada anaknya Tuan Teh,Ketua kampung pula Imam Baada dan jawatan kadi diserahkan pada anaknya bernama Kadi Nong. Di antara syair beliau yang terkenal ialah Syair Asyikin yang kini diterbitkan oleh Kementerian Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, juga Syair Ghafilah,Syair Sifat dan Syair Tumbuhan. Syair-syair ini di salin dan di simpan oleh anak murid dan anak cucunya sehingga ke hari ini. Begitu juga di jumpai akhir-akhir ini Syair Pembasuh Tangan,Syair Kebun dan Syair Pengantin Berarak. Syair karya Tuk Shahibudin amat popular di Negeri Pahang ,dibacakan di surau-surau dan di perjumpaan keagamaan. Disamping itu juga dijumpai pengaruh karya beliau amat kuat sehingga ke Johor dan Riau. Seorang pengarang Syair Sultan Abu Bakar telah meniru gaya Tuk Shahibudin di dalam bersyair yang berjudul “Syair Johor “ ,karya ini pernah dijadikan thesis oleh Dr Fauzi Basri,bekas Naib Censelor UUM.

   Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin, tetapi menurut Kadi Ibrahim pula didalam kitab Syifa Al Abdan ialah Muhammad bin Zainal Abidin bin Shahibudin. Di dalam buku “Juble Perak Sek Men Agama Al Wosto” nama beliau di sebut “Teh Hassan”. Dilahirkan dalam tahun sekitar1750an dan meninggal sekitar awal tahun 1810 dalam usia hampir 60 tahun.
            Bagi meneruskan usaha ayahandanya Tuk Shahibudin, Tuan Teh mengarang banyak kitab-kitab agama seperti Tauhid, Usulfiqh dan Tasawuff. Usaha ini dilakukan bagi membanteras ajaran sesat yang berleluasa di Pahang ketika itu. Ajaran sesat yang wujud sejak sebelum zaman Tuk Shahibudin lagi terus wujud dimasa Tuan Teh seperti ajaran Hakikat Diri,Hakikat Sembahyang,Hakikat Sembelih,Hakikat Berjunub,Pantang pemali,Cuca,Ilmu Sihir,Ilmu Pengasih,Ilmu Kebal,Ilmu karut marut yang bercampur di antara ilmu agama, pawang dan ilmu pendekar. Kebanyakan guru-guru yang mengajar ajaran ini adalah secara sulit tidak berterus terang,sedangkan Rasullulah tidak pernah menyembunyikan ilmu beliau untuk sesiapa sahaja kerana sifat Baginda yang “Tabligh” menyampaikan semua ilmu kepada manusia.Tuan The di dalam satu watikah telah mengistiharkan bahawa semua ini adalah ajaran sesat yang bukan sama sekali dari Islam. Oleh kerana peranan yang begini besar beliau telah diberi gelaran oleh Prof.Dr. Harun Fatah Ibrahim  dari UKM sebagai orang yang pertama di Tanah Melayu yang menentang ajaran sesat  semasa di adakan Muktamar Tokoh Ulama UKM tahun 1983. Fatwa yang dikeluarkan oleh beliau disebarkan di seluruh negeri Pahang (Lihat lampiran).
             

Keratan kitab Raudatul Jinan Halaman 1:


Mudah mudahan insaflah kita dan sedarlah kita daripada lalai dan lenyap dengan sesuatu yang tiada berguna adanya iaitu dunia dan segala perhiasanya dan berpalinglah kita dan berpindahlah kita kepada mengasihi akhirat yang baqa dengan berbuat takutkan Allah dan mengerjakan segala suruhannya dan  menjauhkan segala tegahNya dengan tulus ikhlas dalam sekalian ibadat serta menjauhi diri kita dari mengasihi bagi dunia ini serta bersungguh-sungguh meminta tolong kepada Allah Subana wa’ Taala atas berbuat segala kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan dan meminta ampun dari segala dosanya dan kesalahan dan menerima segala nasihat dan menghantarkan segala ibadat dan mengambil kelakuan segala asfia[1] yang pilihan dan berseterulah dengan hawa nafsu dan dengan iblis dan syaitan dan hadirkan maut ini pada pintu hatinya dan sentiasa menghantarkan dirinya dalam kubur dengan seorang diri dan menilik akan segala kecelakaan dirinya dan menanggalkan ia kepada pangkat yang di bawah pada pihak dunia dan pangkat yang di atas pada pihak agama dan sentiasalah ia memandang dengan mata hatinya akan Allahsubhanawatala senantiasalah ia menilik kepadanya dan mengetahui segala halnya pada zahir dan batinnya tiadalah tersembunyi atasnya sesuatu jua pun.


Karya-karya beliau juga dijumpai di Sumatera Barat di dalam simpanan Marhum Haji Umar di kawasan Padang Sumatera Barat.Kealiman Tuan Teh juga diakui oleh banyak pihak sehingga beliau menerima pelbagai kunjungan dari ulamak-ulamak yang terdapat di Nusantara ketika itu seperti dari Sambas,Riau,Acheh,Terangganu dan Kelantan.
           




3. KADI JAAFAR  BIN TUK SHAHIBUDIN
            Kadi kedua yang dapat dikesan yang menjalankan tugas kadi di Daerah Temerloh selepas Kadi Ismail Bangau Tanjung. Beliau merupakan anak Tuk Shahibudin yang ke lapan. Dipercayai lahir sekitar awal 1750an dan meninggal awal 1820an. Beliau mendapat didikan awal dari bapanya dan dipercayai beliau mendapat pendidikan di Kota Mekah, sekembali dari Mekah beliau telah dilantik menjadi kadi di Daerah Temerloh.

4. LEBAI ENDAK
            Merupakan anak sulung kepada Tuan Teh, beliau seorang yang pintar tetapi pada masa kecilnya agak susah hendak belajar. Lebai Endak bukan lah nama beliau yang sebenar akan tetapi merupakan gelaran dari perkataan “Hendak”.  Oleh kerana masa kecilnya culas belajar maka dia agak ketinggalan dari adik beradiknya yang lain akan tetapi apabila dia mula hendak belajar bersungguh-sungguh maka dia menjadi lebih alim dari adik beradiknya yang lain.

5. IMAM CU AHMAD
            Tuan Guru merupakan cicit kepada Tuk Shahibudin, di lahirkan sekitar tahun 1840an, beliau merupakan antara empat orang tuan guru yang mempunyai bilangan murid yang ramai di Kampung Berhala Gantang. Tuan Guru mendapat pendidikan agama di Kampung Berhala Gantang dari peringkat serendah-rendahnya sehingga ke peringkat tinggi.
           
6. KADI ISMAIL
            Cicit kepada Tuk Shahibudin dari  sebelah ibu iaitu dari jaluran  Imam Baada yang beranakkan  Banun, Kadi Ismail mempunyai lima beradik antaranya Hawa, Zain, Ishak dan Hurairah. Hurairah beranakkan Kadi Ibrahim, jadi Kadi Ibrahim dan Kadi Ismail adalah sepupu dari sebelah ibu dan sepupu juga dari sebelah bapa.
             
7. KADI IBRAHIM BIN ABU HURAIRAH
1830-1918
            Kadi Ibrahim merupakan saudara dua pupu dengan Kadi Ahmad, keturunan dari Tuk Shahibudin dari sebelah perempuan. Manakala dari sebelah lelaki beliau adalah keturunan dari Datuk Matang di Perak Darulriduan. Datuk Matang merupakan seorang pembesar yang sangat berkuasa di Perak dan seorang yang sangat kaya. Beliau merupakan anak cucu Tun Perak dari jaluran Tun Telanai. Apabila Melaka alah kepada Portugis,orang-orang Melaka lari ke Johor Lama. Di sana mereka telah ditawan oleh Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Acheh. Dari Achehlah mereka pergi ke Perak. Setelah tinggal dan menguasai Perak,anak beranak Datuk Matang menjemput keturunan Raja Melaka yang masih berada di Acheh menjadi sultan di Perak.
Datuk Matang mempunyai seorang anak yang berani dan pintar yang bernama Panglima Bagus. Panglima Bagus memberi sumbangan yang banyak kepada kemajuan dan keamanan negeri Perak. Oleh kerana satu hal maka Panglima Bagus merajuk hati dan lari ke Pahang. Di Pahang beliau berkahwin dengan adik perempuan Tuk Shahbudin iaitu Meradah. Beliau membuka kampung di Kuala Temerloh. Maka kawasan itu di serahkan kepada pegangan beliau maka di namai oleh beliau kawasan itu Mukim Perak  bagi mengenang negeri yang telah ditinggalkan olehnya. Anak cucu beliau pernah menjadi Orang Kaya Temerloh beberapa ketika.
Pada masa Khatib Ngah beliau telah berkahwin dengan orang Berhala Gantang dan berpindah ke sana,beliau mendapat beberapa orang anak lelaki antaranya Khatib Hassan,Daharim dan Hurairah. Dari Hurairah lahirnya Kadi Ibrahim.
            Di samping menjadi Kadi Besar, beliau juga sempat mengarang beberapa buah kitab, antaranya:

a.      Kitab Syifa Al Abdan 3 Jilid
b.         Kitab Hidayatul Al Wildan
c.      Tafsir Surah Ikhlas
d.     Al Faaidaat Wal Al Muhaimmat.



Beberapa Petikan dari Kitab Syifa al Abdan

Petikan dari halaman 4:

(Amma Ba’du) Adapun kemudian daripada memuji Allah ,Tuhan yang menjadikan insan dan jin, selawat dan salam ke atas hambaNya yang paling dikasihiNya,Nabi Muhammad yang paling utama dari anak cucu Adnan,(Maka lagi akan berkata) hamba fakir yang sangat mengharap kepada rahmat Allah : Haji Ibrahim bin Hurairah,bekas Kadi Besar Pahang,(maka tatkala adalah pada hijrah Nabi s.a.w 1332 pada bulan Jamadil Awal,16 haribulan) Maka pada tarikh tersebut ini telah kuat himmahku dan tadbirku dengan gerak dan ilham daripada Allah pada membuat satu risalah bagi membicarakan idtikad Ahli Sufi yang pada jalan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah; iai tu Mazhab Imam Abu Hassan Al Asaari dan Imam Abu Mansur al Maturidi.
(Maka ilmu ini)diambil setengahnya dari padanya di dalam Kitab Futh al Ghaib karya Imam Mahyuddin Abdul Kadir Jailani dan setengahnya dari karya Imam al Hafni r.a dan setengahnya daripada Kitab Maqasid al Asani karya Imam al Ghazali. Maka yang dipungut itu sangat sedikit umpama lautan perciknya,umpama setitik jua daripadanya,mudah-mudahan dengan berkat syeikh-syeikh yang tersebut itu maka risalah ini dapatlah membuangkan dan membersihkan idtikad yang cemar daripada idtikad Mertabat Tujuh yang tiada tentu ahlinya, yang bukan dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah boleh menyesatkan akal dan idtikad orang awam.
(Maka ini ilmu dan idtikad) adalah pegangan ulamak Pahang keturunan daripada Haji Abdul Shukur bin Haji Abdul Kadir diambil oleh Kadi Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Shukur,Pahang di Kampung Kertau dan daripada Muhammad bin Shahibudin bin Zainal Abidin,Pahang di Kampung Balai Gantang, ia itu mengambil daripada Fakih Yusuf bin Abdul Salam; Ialah yang membuangkan segala Ilmu Mertabat Tujuh pada zaman Maulana Marhum al Maghfur Bendahara Ali dan Al Marhum wa al Maghfur Sultan Ahmad Shah 1, Pahang.  K.C.M.J.

8. HAJI ALI BIN HAJI AHMAD (1876-1948)
Cicit kepada  Tuk Shahibudin di Kampung Berhala Gantang lahir dalam tahun 1876 dan meninggal pada tahun 1948.Beliau lebih terkenal sebagai pendakwah dan guru Al Quraan yang mengajar di sebuah kampong ke sebuah kampong.Beliau dikatakan berdakwah dengan “ Perahu Cawat” .

9.Kadi Ahmad bin Mohd Pilus  1860-1928
            Kadi Ahmad dilahirkan sekitar pertengahan tahun 1860. Bapanya bernama Mohd Pilus anak kepada Abdullah Endol anak kepada Khatib Ngah, cucu kepada Panglima Bagus,beliau merupakan kadi ke enam dari Kg Berhala Gantang.

Tuk Shahibudin
Kadi Nong (1770-1800)
Kadi Abu Bakar(1800-1840)
Kadi Ismail(1840-1880)
Kadi Ibrahim (Kadi Besar Pahang)(1880-1910)
Kadi Ahmad(1910-1926)

Di antara karya yang di tulis oleh beliau yg dijumpai setakat ini kitab Hidayatul Wildan
Yang di cetak di Pulau Pinang.Kitab Ini di tashih oleh Tuk Kenali dari Kelantan.
           
PETIKAN KITAB HIDAYATUL WILDAN
Maka ku perkenankan akan mereka itu hal keadaannya dipungut daripada beberapa kitab yang muktabar dari ulama yang muhakkikin dan jika aku tiada patut bagi demikian sekalipun kerana aku harap akan maaf dan ampun daripada tuhan yang amat pengampun lagi amat pengasihani akan segala hambaNya. Dan aku namai ia :
(( HIDAYATUL’WILDAN FI AQA’AID AL IMAN)).
Dan aku minta akan Allah Taala bahawa ia memberi manfaat ia dengan dia bagi ku dan bagi sekalian murid yakni bagi sekalian orang yang berkehendak mereka itu dan tiada daya dan upaya ku hanyalah dengan tolong Allah Taala yang Maha Tinggi  lagi Maha Besar , Amin !!!

مقدمة قال العلامة الشيخ أحمد ابن محمد السحيمى رحمه الله تعالى ولا بد لمن أراد الخوض فى علم على وجه الاكمال أن يعرف المبادى العشرة , حده  , وموضوعه , وواضعه , واسمه , وغليته , وحكمه , ومقصوده , واسمداده , وفائدته , ونسبته

  TOKOH ULAMAK PAHANG 1988 ANUGERAH DARI KDYMM SULTAN PAHANG, SULTAN HAJI AHMAD SHAH IBNI ALMARHUN SULTAN ABU BAKAR RIAYATUDDIN AL MUAZZAM SHAH.
TUAN GURU HAJI HASANUDDIN BIN MOHAMMAD
  (1914-2005   )
Latarbelakang:
Nama : Haji Hasanuddin bin Mohammad,nama ibu beliau ialah Sopiah binti  Janal,merupakan anakcucu kepada Tuk Shahibudin, ulamak terkenal di Pahang sekitar awal abad ke 18.Melalui Janal anak kepada Imam Mat Ali anak kepada Imam Shamsuddin anak kepada Imam Baada anak kepada Tuk Shahibudin. Datuk beliau  Tuan Guru Haji Mohammad Ali juga merupakan seorang guru pondok yang terkenal di kampong Berhala Gantang sekitar awal 1900. Di atas usaha datuknya,beliau di hantar mengaji agama. Tempat Lahir: Kampung Berhala Gantang, Temerloh Pahang Darul Makmur. Rumah kediaman beliau masa kecil adalah di atas tapak sekolah menengah agama Al Wosto ketika ini,tanah itu seluas lima ekar dan di sebelah tebing berhampiran sungai Pahand tempat itu didirikan masjid batu  oleh Kadi Ahamd,akan tetapi belum genap setahun masjid itu di hanyutkan oleh banjir besar tahun 1926. Kawasan rumah kediaman beliau lebih di kenali dengan nama "Beroga".Bilangan Adikberadik: Sepuluh Orang, beliau yang ke 3 dari kalangan adikberadiknya tidak ada yang pergi mengaji jauh sebagaimana beliau,mereka hanya mengaji kepada Kadi Ahamd dan Imam Mat Ali sahaja.

Pendidikan:
Sekolah Rendah: Sekolah Rendah Kebangsaan Bangau Tanjung,Temerloh.
Menengah Rendah: Pondok Al Quraan Tuan Haji Man,Lubuk Kawah.
Menengah Tinggi: Pondok Tuan Guru Haji Ismail Mat Akil,Kg Berhala,Kuala Lipis.
Hubungan tuan guru dengan Tuan Guru Haji Ismal sangat rapat. Tuan Guru Haji Ismail sangat menyanyangi dua orang murid beliau pertama Haji Ismail yang akhirnya di kawinikan dengan anaknya dan tuan guru sendiri. Semasa perkahwinan Haji Ismail,tuan guru lah yang menjadi teraju utama bagi pihak lelaki yakni menguruskan semua berkaitan dengan pengantin lelaki. Setelah berkahwin Haji Ismail telah menyatakan hasrat untuk kembali ke Kampung Bangau Parit,hasrat ini ditentang keras oleh Tuan Guru kerana beliau sangat berharap Haji Ismail dapat mengantikan beliau apabila beliau tiada kelak. Maka terjadilah ketengangan di antara ayah mertua dengan menantu, sewaktu berpindah Tuan Guru Haji Ismail tidak membenarkan Haji Ismail membawa sebarang jenis pakaian atau peralatan untuk di bawa pulang ke Bangau, akan tetapi Haji Ismail seorang yang keras hati. Maka atas pujukan tuan guru,akhirnya hati Tuan Guru Haji Ismail menjadi lembut,maka pada satu hari tuan guru menceritakan beliau telah di suruh oleh Tuan Guru Haji Ismail membawa peralatan ke Bangau Parit, termasuklah dua ekor kambing yang di bawa menaiki rakit dari Kuala Lipis ke Bangau Parit.

Pendidikan Tinggi:  Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Tahir,Bunut Payung Kelantan.1941-47.

Pada tahun 1956 Tuan Guru ke Mekah,selama tinggal di Mekah beliau mengaji Ilmu Falak di sana selama 4 bulan khusus dalam Rubu Mujayyad. Sekembali dari Mekah tuan guru membuat satu takwin solat yang diberi nama Takwin Al Wosto,merupakan satu-satunya takwin yang ada di negeri Pahang selama beberapa tahun.
Sumbangan:
1.Mendirikan Sekolah Menengah Agama Al Wosto,Berhala Gantang  1948.
            - Peringkat Awal 1948- 1957
            - Peringkat Kemajuan 1960-1975
            - Peringkat Menurun   1975-1984
2.Menyertai  piliharaya bagi wakil calon PAS 1959
3.Membuat Takwin Solat bagi negeri Pahang
4.Hakim Musabaqah Al Quraan Peringkat Negeri Pahang 1960an dan 70 an
5.Pengerusi Jemaah Pengelola Sek Keb Bintang 1960-1975
6.Yang Di Pertua Persatuan Peladang Daerah Temerloh 1975-1980
7.Pengerusi Kilang Padi Kampung Berhala Gantang
8.Pengerusi Pekan Pelajar (Masisupa) Sekolah-sekolah Agama Negeri Pahang 1964
9.Imam Masjid Kampung Berhala Gantang 1950-1995
10.Penasihat Maahad Tahfiz Al Amin Kg Berhala Gantang & Tahfiz Kerdau
11.Penasihat AJK Falak Negeri Pahang (1997-2003)

Keistimewaan:
1-Puasa pada hari Isnin dan Khamis sejak dari muda
2-Solat Tahajjud setiap malam
3-Khatam al Quraan setiap bulan
4-Menguasai bahasa Arab & Pelbagai ilmu Fiqh,Tafsir,Sirah
5-Mulazamah kitab-kitab asas spt Ghayatul Taqrib,Khusun Hamidiyyah dll
6-Kuat berzairah terutama orang alim & orang tua-tua
Kenangan Manis:
1942    Terpaksa tinggal di Bunut Payung,Kota Bharu Kelantan selama 4 tahun tidak boleh pulang ke kampung kerana peperangan dunia kedua,terkurung di kawasan pondok Haji Abdullah Tahir.
1947    Balik ke Pahang terpaksa menghadapi suasana darurat dari tahun 1947-1952 namun tidak mematahkan semangat untuk mendirikan sekolah.
1964    Madrasah al Wosto merupakan pusat pendidikan yang terbesar di negeri Pahang dengan bilangan murid tetap/separa berjumlah hampir 400 orang.
1966    Berjaya mewujudkan kelas lapan di sekolah al Wosto yang setaraf dengan universiti
1970    Menghadapi kemelesetan ekonomi dan pelajar-pelajar tidak mampu membayar yuran sehingga ramai lari ke sekolah harian,
1982    Madrasah al Wosto  terpaksa diserahkan kepada kerajaan negeri.
1986    Menerima anugerah Tokoh Ulama Negeri Pahang
1996    Berjaya mewujudkan Maahad Tahfiz Al-Quraan al Amin Kampung Berhala Gantang