KOTA BHARU - Masih ramai dalam kalangan masyarakat di negeri ini masih segan menyebut perkataan ‘zina’ secara terbuka dan mereka memilih untuk menyebut perkataan lain yang dianggap lebih sopan dan menjaga keaiban.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Daerah Kota Bharu, Dr Mohd Sharani Mohd Naim berkata, perkataan ‘zina’ seolah-olah menjadi fobia kepada orang yang takut kepada perundangan Islam dan mereka tidak gemar menggunakannya dan mempopularkan istilah lain termasuk bersama, hubungan jenis luar nikah, hubungan seks secara haram, persetubuhan haram, bersekedudukan dan berkhalwat.
“Dengan menyebut perkataan zina, masyarakat lebih nampak ada hukuman melalui undang-undang dan zina perlu disebut (secara langsung) bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menjauhi gejala sosial yang boleh mendorong maksiat.
“Melalui maksiat (zina) ini, ia membawa kepada masalah pembuangan bayi ini, malahan zina merupakan puncak kepada segala jenis perubatan jahat antara lelaki dan wanita yang tidak berkahwin,” katanya kepada pemberita semasa berucap semasa Seminar ‘Buang Bayi: Kita Mampu Menghentikannya (Penyelesaian Dari Sudut Syariah)’ di Hotel Raudhah di sini, semalam.
Dr Mohd Sharani, perzinaan itu boleh berlaku yang mana sebelum ini mereka berkenalan, berkawan, keluar bersama, berpegangan, bercumbuan sehingga membawa kepada zina.
Pada seminar julung kali berkaitan masalah pembuangan bayi anjuran Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM) Kelantan, ia mendedahkan peserta mengenai usaha menangani masalah pembuangan bayi.
Menurutnya, antara faktor yang membawa kepada zina, termasuk filem yang merosakkan, pakaian yang menjolok mata, ciri-ciri kehidupan ala barat, terpengaruh dengan kawan jahat, pergaulan bebas, bahan lucah dan lemah iman.
Menurutnya, Islam mendahului zaman dengan mengatur kehidupan umatnya sesuai sebagai satu cara hidup iaitu memperkenalkan pendidikan seks kepada umatnya yang dibahagikan kepada tiga peringkat.
“Antara peringkat umur ini termasuk antara umur tujuh hingga 10 tahun (mumaiyiz) berkaitan dengan adap meminta izin dan memandang dan antara umur 10 hingga 14 tahun (remaja) berkaitan dengan menjauhi daripada unsur rangsangan seks.
“Selain peringkat usia itu, lingkungan antara umur 14 hingga 16 tahun (bersedia) diajar adab-adab berjimak, jika sedia untuk kahwin dan selepas umur bersedia (pemuda) anak perlu diajar mengenai adab kesopanan maruah, jika tidak mampu kahwin,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment